Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum kongsi prospek, cabaran ekonomi Brunei

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Pelan Tindakan Ekonomi Negara Brunei Darussalam amat penting bagi sebuah ekonomi yang mampan dan dinamik dalam mencapai matlamat negara selaras dengan Matlamat 3, Wawasan Brunei 2025.

    Pelan tindakan berkenaan menumpukan kepada lima sektor utama iaitu Hiliran Minyak dan Gas, Makanan, Pelancongan, Perkhidmatan serta ICT di mana setiap sektor memainkan peranan penting dalam pembangunan industri, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucaptama semasa Forum Ekonomi Tahunan French Bruneian Business Association (FBBA) bertajuk Brunei Budget at the Crossroad: A Dialogue with MOFE, yang berlangsung di Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), kelmarin.

    Turut hadir pada forum berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) MOFE, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin; Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal II), MOFE, Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Haji Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), MOFE, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim; ahli-ahli Kor Diplomatik serta ahli-ahli FBBA.

    Dalam ucaptama berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew juga mengongsi prospek ekonomi Brunei masa kini di mana beliau mengambil maklum akan cabaran serta peluang yang wujud disebabkan ketidakpastian global.

    Di sebalik cabaran-cabaran berkenaan, beliau menekankan bahawa asas ekonomi Brunei kekal mantap dan tumpuan kerajaan adalah untuk mengukuhkan lagi kedayatahanan ekonomi negara dengan tumpuan khusus kepada mengembangkan peranan sektor swasta dalam memacu pertumbuhan mampan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika menyampaikan ucapannya. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Para jemputan yang menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Yang Berhormat Dato juga menekankan usaha kerajaan untuk menggalakkan perniagaan berdikari, walaupun dengan sokongan dalam bidang-bidang strategik masa ada, perniagaan harus lebih mengambil inisiatif untuk berinovasi dan mengukuhkan asas operasi mereka.

    Usaha itu adalah selaras dengan matlamat jangka panjang Brunei iaitu untuk memupuk sebuah ekonomi berdaya tahan dan mampan, berupaya menahan kejutan luar dan menyesuaikan diri kepada landskap global yang pesat berubah.

    Beliau juga menekankan pentingnya usaha memacu kreativiti dan pertumbuhan diterajui eksport serta mengambil maklum akan kebergantungan kepada permintaan domestik yang mengekang potensi ekonomi negara.

    Demi meraih kejayaan dalam persekitaran kompetitif masa kini, tekannya, perniagaan harus memanfaatkan inovasi mengejar peluang-peluang yang terdapat dalam pasaran serantau dan antarabangsa.

    Perkara itu mustahak di sebalik peningkatan ketidakpastian ekonomi global dan persaingan bagi pelaburan langsung asing (FDI) di Asia Tenggara.

    Dalam konteks itu, ulas Yang Berhormat Dato, kekuatan negara seperti kestabilan politik, lokasi strategi di tengah-tengah nadi rantau ASEAN serta dasar mesra pelabur kekal menjadi faktor utama dalam menarik FDI berkualiti tinggi dalam tahun-tahun mendatang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda