Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum kupas agenda pengantarabangsaan

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Dua orang tenaga akademik Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyertai Forum Presiden Universiti (UPF2023) anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, baru-baru ini.

    Program yang diadakan pada 8 hingga 10 Ogos lalu di salah sebuah hotel di Johor Bahru, Malaysia itu telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin.

    UTM-UPF telah diadakan sejak 2009 dan menjadi platform untuk institusi pengajian tinggi (IPT) mengadakan dan memberikan maklum balas terhadap tuntutan global.

    Mengetengahkan tema Innovating Solutions: Expanding Horizon, forum kali ini bertujuan untuk mempersiapkan dan mengongsikan amalan terbaik serta analisis strategi terkini dalam mengubah pandangan dan pendekatan IPT global terhadap agenda pengantarabangsaan.

    Ia termasuk usaha dan inisiatif yang diterajui oleh IPT dalam menyokong penyelesaian inovatif sebagai tindak balas kepada trend semasa dan cabaran yang dihadapi secara global.

    Gambar ramai semasa forum tersebut, baru-baru ini. – Gambar serahan UNISSA
    Gambar serahan UNISSA
    Gambar serahan UNISSA

    Justeru, kehadiran pemimpin universiti, pengurusan tertinggi dan wakil kanan institusi memainkan peranan penting dalam merancang dan membangunkan hala tuju masa hadapan IPT.

    Antara atur cara program UTM-UPF2O23 adalah sesi pembentangan ucaptama oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Romania ke Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, Puan Yang Terutama Nineta Barbulescu, diikuti dengan penyampaian panel forum, Sesi Pertukaran Kerjasama, Hi-Tea Rangkaian Kerja, Bengkel Kerjasama untuk Impak Global, Program Geran Padanan Antarabangsa dan Meja Bulat Presiden yang dihadiri para pemimpin universiti.

    Forum berkenaan telah dihadiri oleh delegasi dari beberapa institusi lain di Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Filipina, Nigeria dan Lithuana.

    Mewakili UNISSA ialah Penolong Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Ahmad dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA, Dr Hajah Sri Rahayu @ Nurjanah binti Haji Dollah.

    Antara objektif forum adalah mempromosikan beberapa pengkhususan bidang penyelidikan serta membincangkan strategi yang efektif dalam usaha meraih peluang untuk berkongsi amalan terbaik, cabaran dan potensi dalam pembangunan sesebuah universiti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda