Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum kupas impak puasa terhadap kesihatan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Seramai 140 orang menghadiri Forum Khas Sempena Bulan Ramadan 1446H/2025M dengan tema Puasa dan Kesihatan Mental anjuran Bahagian Penyebaran Dakwah (Ceramah), Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), di Dewan Persidangan, PDI, Kampung Pulaie, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu khas ialah, Pengarah PDI, KHEU, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

    Ahli panel forum khas terdiri daripada Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa; Pegawai Pelajaran di KHEU, Dayang Siti Hanisah binti Haji Othman dan Penolong Kaunselor Jabatan Penjara di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Fariszal bin Ali.

    Forum dipengerusikan oleh Pembantu Kanan Perkembangan Ugama, PDI di KHEU, Dayang Zannatul Mardhiah binti Awang Sulaiman.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Majlis diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada ahli-ahli panel yang disempurnakan oleh tetamu khas.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh daripada Kumpulan Dhiyaul Iman, daripada Program Keugamaan Belia, KHEU.

    Peserta terdiri daripada para pegawai dan kakitangan PDI dan Unit Dakwah daerah-daerah serta persatuan-persatuan mualaf, muslimah masjid dan juga belia-belia di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, KHEU.

    Forum khas itu diadakan antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai impak puasa terhadap kesihatan fizikal dan mental serta kebaikan puasa dalam mengurangkan tekanan.

    Di samping meningkatkan ketenangan jiwa dan emosi serta menerapkan nilai syukur, sabar dan qanaah.

    Forum Khas Sempena Bulan Ramadan 1446H/2025M ini diharap akan dapat mencapai objektif dan sasaran yang dihasratkan iaitu bagi mengongsikan ilmu pengetahuan agar lebih bersemangat melaksanakan ibadah puasa dengan lebih sempurna.

    Haji Abdul Rajid semasa hadir di majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN PDI
    Antara yang menghadiri forum berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PDI
    Ahli panel forum yang membincangkan tajuk tema ‘Puasa dan Kesihatan Mental’. – GAMBAR SERAHAN PDI
    GAMBAR SERAHAN PDI
    GAMBAR SERAHAN PDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda