Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Selaras dengan komitmennya untuk menyokong dan mengasuh pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, Bank Baiduri bekerjasama dengan Asia Inc Forum akan mengadakan Forum dan Bengkel Pembangunan Perniagaan Tempatan (LBD) selama dua hari pada 27 dan 28 September nanti.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, forum dan bengkel yang akan diadakan di Hotel Radisson, di sini itu, memberikan peluang kepada usahawan, profesional serta perusahaan sosial tempatan untuk belajar, berkongsi dan menjalinkan rangkaian hubungan di antara satu sama yang lain di sebalik tema ‘Mencari Peluang dalam Masa yang Mencabar’.
Menurut kenyataan itu lagi, antara penceramah yang diundang untuk menyampaikan ceramah serta berkongsi pengalaman pada forum itu nanti termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif UCSI Blue Ocean Strategy Consulting, Raj Kumar; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ingenious Haus Group, Malaysia, William Du serta beberapa orang usahawan tempatan termasuk Pengasas Sparkle with Shy, Shy Nokman; Pengasas Expressions Music, Lily Chiam dan Pengasas AGROME IQ, Vanessa Teo.
Forum itu dibukakan bagi penyertaan kira-kira 150 orang peserta iaitu pengurus dan pemilik perusahaan tempatan, eksekutif korporat dan profesional yang mana sesi forum dirangka untuk merangsang pemikiran kreatif ke arah mengenali prospek perniagaan serta mengendalikan situasi-situasi sukar dengan menggunakan pengalaman dan pengajaran daripada dunia perniagaan sebenar.
Sesi forum itu juga akan menyentuh mengenai usaha untuk menjana ruang pemasaran, mendapatkan pelanggan setia, menjadikan idea ke realiti dengan berjaya serta mencari kaedah untuk terus mampu kekal menjalankan perniagaan ketika berhadapan dengan masa-masa yang sukar.
Menurut kenyataan itu, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, Bank Baiduri akan memberikan dua tempat duduk di forum itu melalui laman media sosialnya.
Pemilik-pemilik perniagaan yang berminat hanya perlu merakam video mengongsi mengenai mengapa mereka mahu menyertai Forum LBD itu dan memuat naiknya di Instagram mereka dengan tag @baiduribank untuk memasuki acara itu.