Tuesday, April 22, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum LBD bantu usahawan tempatan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Asia Inc Forum dan rakan utamanya, Bank Baiduri akan mengadakan Program Pembangunan Perniagaan Tempatan (LBD) Brunei 2017 di Hotel Radisson bersama Forum LBD mengenai Mencari Peluang dalam Masa-masa Mencabar pada 27 September dan Bengkel mengenai Lean Startup Principles pada 28 September.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Forum LBD pada hari pertama dibukakan kepada kira-kira 150 orang pemilik dan pengurus perniagaan tempatan, eksekutif korporat dan profesional dengan matlamat untuk membantu mereka mendapatkan hasil lebih baik bagi perniagaan atau jabatan mereka.

    Forum LBD akan menampilkan para penceramah berpengetahuan tinggi dari luar negara yang akan disertai oleh tokoh-tokoh Brunei, sebilangannya akan membuat penampilan luar biasa di atas pentas.

    Sesi-sesi berkenaan direka untuk merangsang pemikiran kreatif ke arah prospek dan kesukaran perniagaan, yang akan dilengkapi dengan pengalaman dan pengajaran kehidupan sebenar yang memberikan inspirasi.

    Manakala itu, Bengkel LBD pada hari kedua akan mengajar para peserta bagaimana menghasilkan tawaran produk atau perkhidmatan lebih baik, menguji idea-idea baru (malah tanpa memerlukan belanjawan lebih), respons pantas kepada isyarat daripada pasaran dan menyediakan nilai lebih baik bagi diri mereka sendiri dan pelanggan.

    Forum LBD yang diadakan di Negara Brunei Darussalam sebelum ini.
    Forum LBD yang diadakan di Negara Brunei Darussalam sebelum ini.

    Untuk memaksimumkan pengajaran dan interaksi, bengkel tersebut akan hanya dibukakan kepada sehingga 40 orang peserta.

    Kenyataan menjelaskan, bengkel berkenaan akan dikendalikan oleh tenaga pengajar Lean Principles terkemuka dari Asia Tenggara yang mengajar dan menaikkan lebih 1,000 perniagaan baru dan korporat besar di rantau ini.

    Modul-modul akan mendalami Lean Startup Principles yang digunakan oleh syarikat-syarikat yang sebelumnya kecil dan bermasalah yang akhirnya berjaya (seperti Uber dan Airbnb), metode yang digunakan oleh para pemimpin industri global hari ini seperti GE, Qualcomm dan Intuit.

    Maklumat lanjut mengenai Program LBD 2017 boleh didapati dengan menghubungi Dayang Huda binti Sulaiman di Asia Inc Forum menerusi talian 2226555 sambungan 12 atau di laman sesawang asiaincforum.com.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda