Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 9 OKT – Lebih 600 orang dari seluruh Daerah Belait telah menghadiri forum sempena Majlis Ilmu 2025 yang diadakan di Pusat Insani, Seria, hari ini.
Forum diadakan sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79 Tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.
Turut hadir, Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Seminar Majlis Ilmu 2025; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Seminar Majlis Ilmu 2025; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, ketua-ketua jabatan dan bahagian; pegawai-pegawai kanan; pegawai dan kakitangan kerajaan; para jemputan khas; penduduk kampung di Daerah Belait; majlis perundingan kampung; belia-belia masjid, muslimah; pihak swasta; pensyarah-pensyarah; penuntut-penuntut dari institut pengajian tinggi dan persatuan-persatuan.
Forum bertajuk Rahsia Pahala Berpanjangan, Walau Nyawa Terhenti menekankan dan membincangkan tentang amalan bersedekah sebagai amal jariah yang kekal pahalanya walaupun seseorang itu telah meninggal dunia.
Forum dibentangkan oleh tiga ahli panel iaitu Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Haji Mohd Syahiran bin Haji Mohd Sofian; Penolong Profesor, Fakulti Syariah dan Ketua Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN), UNISSA, Dr Hajah Zurairatul Zakiah binti Dato Seri Setia Haji Rajid; dan Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi. Hadir selaku moderator forum tersebut ialah Penolong Pendaftar, UNISSA, Dr Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin.
Forum tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran lebih daripada 600 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pegawai kerajaan, belia, ahli akademik dan masyarakat setempat.





