Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum MIB wadah kukuhkan taat setia kepada raja

    Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

     

    TEMBURONG, 12 Okt – Forum Khas Melayu Islam Beraja (MIB) yang diadakan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta telah diteruskan lagi hari ini di Daerah Temburong.

    Forum berkenaan telah berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Rataie dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pemberigaan MIB sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta; ; Pemangku Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar selaku Pengerusi Forum Khas MIB; pegawai Daerah Temburong, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung dan ahli-ahli takmir masjid serta Kelas Bimbingan Mualaf Daerah Temburong.

    Ahli-ahli panel terdiri daripada Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Pensyarah MIB dan Perdagangan, Universiti Teknologi Brunei, Dr. Malai Yunos bin Malai Yusuf; dan Penolong Profesor, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Lilly Suzana binti Haji Shamsu manakala itu, Awang Muhammad Al-Qusyairi bin Haji Abdul Kahar dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) selaku pengerusi.

    Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bersama jemputan lain mendengarkan Forum Khas MIB yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Rataie Daerah Temburong.

    Dalam forum tersebut, Dr. Haji Abdul Manaf menekankan mengenai usaha-usaha kerajaan mempelbagaikan peluang meningkatkan mutu kehidupan rakyat dari pelbagai aspek serta manfaat amalan berbaik-baik dalam hubungan antarabangsa dan Dr. Malai Yunos membincangkan kepelbagaian peluang pendidikan awam dan swasta ke arah peningkatan kesejahteraan rakyat dan negara manakala itu, Dr. Lilly Suzana menyentuh mengenai amalan doa serta kesannya dalam keharmonian beragama, bermasyarakat dan bernegara.

    Forum Khas berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerja Pemberigaan MIB di bawah Jawatankuasa Sektoral Media, Publisiti dan Percetakan sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta.

    Ia diharap akan menjadi satu wadah mengukuhkan taat setia kepada kepimpinan pemerintahan beraja dan azam untuk mengekalkan keamanan, kesejahteraan serta kebahagiaan dalam negara MIB yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Waljama’ah dan dengan berasaskan keadilan, amanah dan kebebasan. Ini dipercayai dapat menyuburkan rasa cinta kepada negara dan kasih kepada raja.

    Forum ini telah bermula pada 2 Oktober di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas dan dilaratkan di keempat-empat daerah seluruh negara dengan Daerah Temburong sebagai destinasi terakhir.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda