Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Seramai lebih 50 orang belia telah menyertai Forum Mengatasi Gejala Burnout yang telah diadakan baru-baru ini di Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong (MSSAS).
Hadir selaku ahli panel ialah pembimbing belia masjid senegara, dan Penolong Profesor Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman; dan Ketua Unit Pembangunan Belia, Belia Masjid Senegara, Awang Muhammad Shair bin Haji Samsudin. Manakala moderator bagi forum itu ialah Timbalan Pengerusi Belia Mualaf As-Syahadah, Dayang Nurul Huda binti Mohammad Ashraf.
Forum yang dianjurkan bersama oleh Kumpulan Syababul Iman MSSAS dan Takmir Masjid MSSAS itu bertujuan untuk memberikan pencerahan kepada para belia mengenai gejala burnout agar dapat menjalankan kehidupan yang serba kompleks pada hari ini dengan lebih baik dan tenang.
Forum berkenaan antara lain menjelaskan mengenai pengertian burnout termasuk penyebab terjadinya burnout, di samping mengongsikan beberapa petua pengurusan masa dan emosi sebagai langkah berjaga-jaga.
Dr Hajah Ummi Fa’izah menekankan kepentingan pendekatan senegara dalam menangani gejala burnout dalam kalangan belia bagi memastikan keberkesanan usaha-usaha yang dijalankan.
Forum tersebut juga memuatkan perkongsian daripada beberapa mentor belia yang aktif dalam aktiviti kebeliaan, dan dalam masa yang sama memikul tanggungjawab yang lain seperti seorang ibu, bapa, penjawat awam dan lain-lain.


