Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), telah menyertai Forum Serantau untuk Memperkukuh Kesedaran dan Penyertaan Pihak Berkepentingan terhadap Pelan Strategik ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KKBS, di sini, menyatakan forum berkenaan juga dibuka kepada orang awam melalui platform atas talian di mana ia bertujuan untuk memperkukuh penglibatan dan kerjasama antara pihak berkepentingan serta komuniti ASEAN bagi menyokong pelaksanaan Pelan Strategik ASCC.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad bersama-sama dengan menteri-menteri ASCC yang lain dan Setiausaha Agung ASEAN, telah menyampaikan ucaptama melalui rakaman video pada forum berkenaan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dalam ucaptama berkenaan, mengetengahkan Matlamat Strategik 10 daripada Pelan Strategik ASCC: A Community that Advances Sports to Contribute towards the Growth of ASEAN as a Sporting Hub for Excellence to Promote Peace, Inclusion, Health, Education and Socio-Economic Development.
Yang Berhormat Dato menekankan kepentingan memahami pelbagai aspek kesukanan bagi memanfaatkan impak positif; serta berharap bagi forum serantau itu akan dapat memupuk kerjasama, bersama-sama mencipta dan berinovasi serta membuka momentum melalui peningkatan kesedaran dan perkongsian perspektif masing-masing.


Beliau turut mengongsikan mengenai bagaimana Negara Brunei Darussalam menggalakkan pemilikan bersama melalui penyelarasan dasar-dasar negara dengan Pelan Tindakan ASEAN bagi Sukan termasuk penubuhan ASEAN Sports Zone, pelaksanaan ASEAN Sports Day, Program Active Aging serta memastikan infrastruktur sukan mesra orang kelainan upaya (OKU).
Kenyataan menyatakan bahawa Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, turut menghadiri forum serantau berkenaan, sebagai panelis dalam sesi, Advancing Inclusive Development and Bridging the Development Gap in ASEAN, selaku pengerusi bagi ASEAN Senior Officials Meeting on Rural Development and Poverty Eradication (SOMRDPE) dan juga pengerusi ASEAN Senior Officials Meeting on Social Welfare and Development (SOMSWD).
Para sesi berkenaan, beliau antara lain mengongsi keutamaan ASEAN yang terkini dalam memperkukuhkan perlindungan sosial dan membangunkan ekonomi penjagaan untuk menggalakkan kebajikan kumpulan terdedah seperti warga emas dan OKU.
Beliau juga mengetengahkan pelbagai inisiatif strategik yang bertujuan untuk menyokong pembangunan yang dipacu komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan peranan institusi keluarga dalam membina daya tahan dalam masyarakat, yang semuanya bertujuan untuk merapatkan jurang pembangunan bagi memastikan kemampanan yang lebih baik bagi Pelan Strategik ASCC.
Regional Forum to Deepen Stakeholder Awareness and Engagement on the ASCC Strategic Plan itu juga telah disertai oleh negara-negara ahli ASEAN, Timor Leste, ASEAN Centres, rakan-rakan dialog, organisasi antarabangsa, organisasi penyelidikan, think tanks, akademia, pertubuhan masyarakat sivil dan perusahaan sosial.

