Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum PREPanita tingkat kesedaran isu pergaulan bebas

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Kira-kira 150 penuntut Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah menyertai Forum PREPanita bertajuk Isu Pergaulan Bebas dan Kehamilan Luar Nikah anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan persatuan bukan kerajaan.

    Forum berkenaan diadakan pada 5 November lalu di IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal dan hari ini di IBTE Kampus Mekanikal, dengan tujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga maruah diri, batas pergaulan serta tanggungjawab sosial dan moral.

    Melalui forum ini, para penuntut diharapkan dapat mengukuhkan jati diri, mengawal batas pergaulan dan mendapatkan bimbingan melalui saluran yang tepat, di samping menekankan peranan institusi, keluarga dan masyarakat dalam usaha pencegahan serta pemberian sokongan awal.

    Forum dikendalikan oleh Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, JAPEM, Dayang Rafidah binti Haji Abdullah selaku moderator.

    Pada 5 November lalu, barisan ahli panel terdiri daripada Pegawai Kerja Sosial, JAPEM, Dayang Nur Nadia Syuhadaa binti Samle; Pegawai Ugama, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga (BKNK), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dayang Nur Ayuni binti Suhili; Penasihat Undang-undang, Pejabat Peguam Negara, Dayang Nor’ Adliatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi; serta Presiden Persatuan Kaunseling Brunei (PERKAB), Mejar (B) Rusli bin Bujang.

    Antara ahli panel yang hadir bagi membincangkan Forum PREPanita kepada pelajar IBTE. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Hari ini, forum panel terdiri daripada Pegawai Kerja Sosial, JAPEM, Dayang Nuramalizaan binti Haji Awang Jamal; Pegawai Ugama, BKNK, KHEU, Dayang Saimah binti Haji Ahmad; Penasihat Undang-undang, Pejabat Peguam Negara, Dayang Sabrina binti Haji Mahmud; dan Yang Di-Pertua Afiah, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi.

    Antara perkara utama yang di-bincangkan termasuk kepentingan memelihara kehormatan diri selaras dengan tuntutan Islam dengan menjaga pandangan, menutup aurat, mengawal pergaulan antara lelaki dan perempuan serta menghindari situasi berkhalwat dan sentuhan fizikal.

    Para peserta turut dinasihatkan agar beradab dalam tingkah laku, menunaikan solat lima waktu serta mengelak daripada memuat naik perkara yang boleh menjatuhkan maruah di media sosial.

    Daripada aspek perundangan, Dayang Nor’ Adliatul Hidayah dan Dayang Sabrina menjelaskan beberapa peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan pergaulan bebas, kehamilan luar nikah dan jenayah seksual di bawah Kanun Hukuman Jenayah serta Kanun Hukuman Jenayah Syariah. Penjelasan tersebut menekankan kesedaran undang-undang dalam kalangan belia agar memahami akibat sosial dan perundangan yang timbul daripada pergaulan bebas.

    Sementara itu, Dayang Nur Nadia Syuhadaa dan Dayang Nuramalizaan berkongsi data menunjukkan seba-nyak 20 kes kegiatan tidak bermoral dilaporkan dari Januari 2025 hingga kini, termasuk salah laku seksual, penderaan dan rogol yang turut melibatkan pelajar bawah umur.

    Keadaan tersebut menuntut pengukuhan langkah pencegahan dan bimbingan awal daripada keluarga serta pemantauan berterusan daripada komuniti.

    Dalam perkongsian lain, Pegawai Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dayangku Hajah Nurizni binti Pengiran DP Haji Sallehuddin menekankan risiko kehamilan luar nikah terhadap kesihatan fizikal, emosi dan mental seperti tekanan darah tinggi, anemia, kelahiran pramatang serta beban kewangan dan sosial yang dihadapi oleh individu terlibat.

    Manakala Mejar (B) Rusli pula menjelaskan kesihatan mental dapat dipertingkat melalui Therapeutic Lifestyle Changes (TLC) seperti pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan interaksi sosial yang seimbang. Beliau turut menekankan kepentingan penerangan rasional terhadap isu larangan sosial agar belia memahami kesan jangka panjangnya terhadap diri dan masyarakat.

    Sementara itu, Haji Abdul Rahman menyeru golongan belia untuk merancang masa depan, aktif menyertai aktiviti sosial dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai usaha membina kemahiran, pengalaman serta menyokong Wawasan Brunei 2035.

    Forum diakhiri dengan sesi soal jawab bersama penuntut IBTE serta nasihat daripada setiap ahli panel.

    Para penuntut memberikan maklum balas positif terhadap sesi berkenaan yang disifatkan memberi kesedaran dan panduan berguna dalam mengekalkan maruah diri serta menghindari gejala sosial.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda