Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Dengan tema Membayangkan Semula Pendidikan Tinggi: Menavigasi Trend, Cabaran dan Peluang dalam Era Geopolitik, Digital dan Mampan, Forum Presiden Universiti ke-3, Universiti Teknologi Brunei (UTB-UPF Ke-3) telah berlangsung di UTB, kelmarin.
Forum berkenaan merupakan sebahagian daripada acara UTB Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (UTB-STE) Connect 2025 yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin daripada institusi pengajian tinggi dan industri untuk terlibat dalam perbincangan berpandangan ke hadapan mengenai masa depan pengajian tinggi dalam landskap global yang pesat berubah.
Forum itu distrukturkan sekitar tiga perbincangan utama dan berakhir dengan sesi meja bulat yang mengetengahkan topik-topik kritikal termasuk peningkatan pembelajaran digital dan AI, peranan universiti yang berubah dalam dunia terpolarisasi, strategi bagi mengintegrasikan kemampanan ke dalam misi institusi serta pendekatan untuk mengimbangkan kolaborasi global dengan perkaitan serantau.
Sesi pertama forum bertajuk Model Inovatif bagi Graduan Kalis Masa Hadapan- Kemahiran untuk 2030, mengetengahkan ucaptama oleh Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.
Sesi itu disertai tiga ahli panel iaitu Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh; Profesor Vishna Nadarajah dari Newcastle University Medicine di Malaysia dan Profesor Vincent Lee dari Curtin University, Miri Sarawak.
Sesi kedua forum bertajuk Tranformasi Digital dan Pendidikan Tinggi bagi Kemampanan dan Kampus Hijau yang disampaikan oleh Presiden Sunway University, Malaysia, Profesor Dr Sibrandes Poppema dan disertai tiga ahli panel iaitu Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Dr Hazri bin Haji Kifle; Naib Canselor University of Technology Sarawak (UTS), Profesor Datuk Dr Khairuddin bin Abdul Hamid dan Naib Presiden Hainan University, China, Profesor Liu Qian.
Sesi terakhir bertajuk Pembiayaan, Cabaran-cabaran Antarabangsa dan Pengaruh Geopoliti yang mengetengahkan ucaptama oleh Naib Canselor Universiti Malaya, Malaysia, Profesor Dato’ Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman dan disertai tiga ahli panel
daripada Presiden Tungku Abdul Rahman University of Management and Technology Malaysia, Profesor Dato’ Indera Ir Dr Lee Sze Wei; Naib Presiden King Mongkut’s University of Technology Thonburi Thailand, Penolong Profesor Dr Santi Charoenpornpattane dan Penolong Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Arman bin Haji Asmad.
Forum itu diakhiri dengan sesi meja bulat bertajuk Bergerak Ke Hadapan- Kolaborasi Yang Menghubungkan Masa Depan yang melibatkan semua pembentang ucaptama dan ahli-ahli panel.
Sesi itu menyediakan peluang untuk saling bertukar amalan terbaik, mengesahkan semula komitmen bersama dan memeta hala tuju bagi kolaborasi untuk mengukuhkan ekosistem pendidikan tinggi serantau.
UTB-UPF ke-3, 2025 mengetengahkan komitmen berterusan UTB untuk memajukan inovasi, kemampanan dan kedayatahanan dalam pendidikan tinggi. Di samping menjadi sebuah platform untuk sesi dialog, forum tersebut sekali gus memperkukuhkan hubungan serantau, menggalakkan perbincangan menumpukan dasar dan meletakkan asas bagi usaha kolaboratif.
Semua di atas: Antara suasana semasa forum berkenaan.


