Thursday, June 1, 2023
34.4 C
Brunei

    -

    Forum promosi peralihan rantau

    Oleh Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) menekankan peranannya dalam mempromosikan peralihan di rantau ini semasa Mesyuarat Pengerusi ACMF ke-38 yang dihoskan oleh Otoritas Jasa Keuangan (OJK), Indonesia, baru-baru ini.

    Mesyuarat yang diadakan dalam format hibrid dengan mesyuarat bersemuka diadakan di Yogyakarta, Indonesia itu dihadiri oleh ACMF yang merupakan perkumpulan pengawal selia pasaran modal peringkat tinggi daripada kesemua 10 negara anggota ASEAN.

    Menurut kenyataannya, ACMF menantikan penerbitan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Lestari Versi 2 oleh Lembaga Taksonomi ASEAN pada hujung Mac 2023.

    Dalam hubungan itu, ACMF menghargai usaha Taksonomi ASEAN dan akan terus menyokong pembangunan Taksonomi ASEAN ke arah menyiapkan kriteria pemeriksaan teknikal bagi sektor-sektor tumpuan taksonomi secara berfasa.

    Mesyuarat itu bersetuju terhadap hala tuju ke hadapan dalam mempromosikan peralihan ke arah Matlamat Perjanjian Paris di rantau berkenaan dengan membangunkan garis panduan peralihan berasaskan prinsip yang meluas dengan mengambil kira amalan-amalan terbaik daripada garis panduan relevan sedia ada yang sesuai.

    Dengan mengambil maklum peranan pasaran karbon dalam mempercepatkan peralihan sifar bersih, ACMF telah melaksanakan Kajian Voluntary Carbon Market (VCM) Fasa 1 pada 2022 dan pada Mesyuarat ACMF ke-38, ahli ACMF bersetuju untuk melaksanakan fasa 2 kajian berkenaan untuk meneroka hala tuju ke hadapan VCM menumpukan kepada aspek berkaitan peralihan.

    ACMF semasa mesyuarat itu juga bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dengan International Sustainable Standards Board (ISSB) dengan mengadakan sesi pertemuan yang kerap dan persidangan dan acara bersama, mengutamakan program pembangunan kapasiti serta meneroka potensi bagi kerjasama ACMF-ISSB.

    Mesyuarat itu juga menyokong Hab Pengetahuan Kewangan Mampan yang sedang dibangunkan sebagai sebuah pusat sehenti untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik para peserta mengenai isu-isu berkaitan kewangan mampan.

    Hab itu disasarkan untuk dilancarkan pada hujung Mac 2023 di mana hab pengetahuan berkenaan boleh diakses di muka utama laman sesawang ACMF.

    Selain itu, mesyuarat juga meluluskan pendekatan untuk membangunkan Laluan Hijau ASEAN bagi memudahkan tawaran merentas sempadan untuk dana bertanggungjawab dan mampan di bawah Kerangka CIS ASEAN yang sedia ada dengan garis masa bagi pengesahan dijadualkan pada September 2023.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Budak 3 tahun maut ditikam di Australia

    SYDNEY, 1 JUN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut dan seorang lelaki berusia 45 tahun kritikal akibat ditikam dalam kejadian yang berlaku...
    - Advertisment -