Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Satu forum eksklusif bagi mengumpul dana telah diadakan di Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong hari ini bagi menyambut baik kesedaran ahli jemaah masjid untuk memberi sumbangan dalam pembinaan masjid di negara ini.
Forum berkenaan dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir masjid berkenaan dan juga Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Unit Urus Setia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dengan kehadiran
Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri selaku tetamu kehormat.
Forum dengan tajuk Fadhilat berinfak membangun masjid dan mengimarahkan masjid itu dipengerusikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Malik bin Haji Jumat dengan disertai oleh ahli panel yang terdiri daripada Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Asminan bin Haji Chuchu dan Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Forum berkenaan turut diisi dengan penerangan peraturan kewangan untuk peletakan tabung, pembukaan tabung, pengiraan duit, penghantaran duit ke bank termasuk laporan ke urus setia tabung berkenaan.
Antara tujuan forum itu diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan ahli jemaah masjid supaya membuat sumbangan sebagai saham akhirat, memberi pengetahuan dan kemudahan mengenai tatacara untuk menyumbang ke tabung itu serta cara berinfak selain daripada tabung yang dikhususkan.
Di samping itu, forum diharapkan dapat menyuntik motivasi jemaah supaya terus berbakti kepada agama melalui derma yang disumbangkan sebagai salah satu wadah penyebaran dan pengukuhan syiar agama.