Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Sebagai persiapan menyambut bulan Ramadan, satu program Rehlah Ila Ramadhan bagi sesi keempat telah diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong pagi tadi.
Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dan Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong.
Tujuan program diadakan adalah bagi menyemarakkan bulan Ramadan yang kian tiba di samping meraih ilmu pengetahuan ugama berkaitan dengan amal ibadat untuk diamalkan dan disebarkan kepada masyarakat.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Awang Harris Hamdillah bin Haji Masri.

Program diisikan dengan forum bertajuk Pemakanan Sihat di Bulan Ramadan dengan yang dibahaskan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Muhammad Naqib bin Haji Awang dan Pegawai Penjaga Zat Makanan, Bahagian Permakanan Masyarakat, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Awang Ilham bin Haji Mohd Ali dan Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Haji ‘Abdul Mu’iz bin Haji Amat sebagai pemudah cara.
