Sunday, October 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum tekankan pengurusan mental,emosi yang sihat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Dengan tema utama Sambutan Majlis Ilmu 2024 iaitu Menangani Gejala Mental, satu forum Sempena Majlis Ilmu 2024 bagi Daerah Brunei dan Muar diadakan di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.

    Forum adalah sebagai kesinambungan kepada Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah bin Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja-Seminar Majlis Ilmu 2024, timbalan pengerusi bersama, setiausaha tetap, pemangku setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pemangku timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan kerajaan, para jemputan khas, para panel forum, pihak swasta, pensyarah, mahasiswa-mahasiswi dan persatuan-persatuan.

    Forum yang bertajuk Emosi ku eh! mengetengahkan pembentangan dari tiga orang ahli panel iaitu Profesor Fakulti Syariah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Profesor Dato Dr Haji Zulkifly bin Haji Muda; Pegawai Psikologi di Unit Psikologi Kinikal, Kementerian Kesihatan, Hajah Rozailah binti Haji Abdul Rahman serta Pegawai Pelajaran di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Siti Hanisah binti Haji Osman dengan moderator forum ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas II, di Jabatan Agama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan, Awang Mohammad Rif’at Atiyyah bin Haji Anwari.

    Antara inti pati yang diketengahkan dalam forum berkenaan ialah mengenai kesihatan mental pada era moden ini seperti kemurungan, kebimbangan serta tekanan emosi semakin meningkat khususnya dalam kalangan masyarakat Islam.

    Maka penjagaan mental yang sihat dapat membantu keupayaan seseorang untuk menguruskan emosi, menjalani, menghargai dan menikmati kehidupan dengan cara yang positif, produktif dan seimbang.

    Dalam menghadapi dan menangani apa juga musibah, pendekatan Negara Brunei Darussalam tetap tidak berubah dengan cara bersabar, berusaha dan berikhtiar.

    Maka adalah penting untuk mengenal pasti tatacara dan kaedah pencegahan gangguan mental, rawatan sepadu yang menggabungkan intervensi perubatan dengan rawatan ketuhanan dan pemulihan penyakit mental.

    Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menghadiri forum berkenaan.
    Barisan panel dan moderator semasa forum berkenaan.

    Antara yang menghadiri forum berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH JAMES KON
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda