Saturday, November 16, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum titik berat amalan ibu, anak damit

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Bersempena dengan Minggu Penyusuan Sedunia (WBW), Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) telah mengadakan Forum Empowering Your Journey: Antenatal Care and Breastfeeding di sebuah hotel di Gadong, kelmarin.

    Forum berkenaan telah menampilkan pembentangan oleh Timbalan Ketua dan Perunding Jabatan Obstetrik dan Ginekologi di JPMC, Dr Hajah Siti Khadijah binti Ismail yang antara lain menekankan peranan penting yang dimainkan oleh penjagaan antenatal dan penyusuan dalam memastikan kehamilan dan anak damit yang sihat.

    Beliau turut menekankan manfaat-manfaat terpenting dalam menitikberatkan amalan-amalan berkenaan kepada ibu dan anak damit, menyumbang kepada permulaan hidup yang lebih sihat.

    Dengan terus mencari sokongan yang sewajarnya, golongan ibu boleh meningkatkan perjalanan mereka demi mencapai hasil yang terbaik untuk diri dan anak damit mereka.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyusuan susu ibu adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan yang optimum.

    Dr Hajah Siti Khadijah semasa menampilkan pembentangan Forum Empowering Your Journey: Antenatal Care and Breastfeeding. – GAMBAR SERAHAN JPMC
    Antara yang hadir bagi mendengarkan forum tersebut. – GAMBAR SERAHAN JPMC

    Bukti menunjukkan bahawa anak damit yang diberikan susu ibu cenderung mendapat markah yang lebih tinggi pada ujian kecerdasan; mempunyai risiko obesiti dan diabetes yang lebih rendah; dan lebih dilindungi daripada jangkitan.

    Selain itu, penyusuan susu ibu menawarkan faedah yang ketara kepada golongan ibu, termasuk mengurangkan risiko kanser payudara dan ovari.

    Secara keseluruhannya, penyusuan susu ibu mempunyai kesan positif dalam jangka panjang terhadap kesihatan awam, menyumbang kepada populasi dan tenaga kerja yang lebih sihat.

    Forum tersebut juga menampilkan segmen interaktif di mana golongan ibu yang berpengalaman berkongsi pengalaman peribadi dan pandangan mereka tentang penjagaan antenatal dan penyusuan.

    Acara diakhiri dengan cabutan bertuah, ditaja oleh Mothercare dan Chicco. Para hadirin juga dijemput untuk melihat demonstrasi secara langsung penjagaan antenatal dan teknik penyusuan yang dijalankan oleh jururawat bertauliah JPMC.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda