Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum tumpu kompetensi kemahiran kepimpinan penjagaan kesihatan

    Oleh Sim Y. H. –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Seramai 100 orang peserta dari institut-institut pendidikan, hospital awam dan swasta di Negara Brunei Darussalam menghadiri Forum bertemakan Nursing and Midwifery Leadership and Management – Challenges of Nursing and Midwifery Leadership yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
     
    Forum anjuran Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU) memberikan peluang kepada peserta bagi berkongsi, membincangkan isu, cabaran dan trend semasa berhubung dengan amalan klinikal dan pendidikan berkaitan dengan kepimpinan dan pengurusan kejururawatan dan perbidanan.
     
    Forum itu menumpukan kompetensi kemahiran kepimpinan dan pengurusan yang menyumbang kepada penjagaan kesihatan yang efisien, berkualiti dan selamat.
     
    Pengetahuan dan kemahiran kepimpinan dan pengurusan adalah amat penting bagi mempertingkatkan kebolehan jururawat dan bidan berkerjasama dengan profesional kesihatan yang lain supaya dapat mengurangkan bebanan tugas serta menghadapi isu-isu dan cabaran dengan kerjasama semua pihak profesional kesihatan secara teratur dan bersistematik.
     
    PENJURU memainkan peranan penting dalam menyumbang dan menambahbaik ilmu pengetahuan, praktis dan kemahiran jururawat dan bidan di negara ini bagi memperkasakan kemahiran di dalam memberikan penjagaan dan perawatan yang sentiasa berkualiti. 
     
    Sehubungan dengan itu, forum tersebut telah pun diadakan pada setiap bulan dengan kerjasama Program Kejururawatan dan Perbidanan, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam bermula Oktober 2023. 
     
    Barisan ahli panel yang membuat pembentangan semasa forum tersebut. – GAMBAR SERAHAN PENJURU
    Sesi forum kelima dan terakhir yang diadakan hari ini, merupakan penutup program yang disasarkan bagi memperkukuhkan dan memantapkan urus tadbir, struktur perjawatan dan organisasi dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat selaras dengan dasar semasa kerajaan.
     
    Adalah amat penting bagi para jururawat dan bidan untuk sentiasa berdaya tahan dengan 
     
    mempersiapkan diri bagi menangani isu-isu semasa dan cabaran yang dihadapi berkaitan dengan pengurusan dan kepimpinan supaya dapat  mengekalkan urus tadbir yang kukuh. 
     
    Selain daripada itu, pengurusan perawatan dan penjagaan kesihatan yang diberikan bukanlah hanya semata-mata sebagai rutin tetapi hendaklah berasaskan bukti yang dirujuk daripada dapatan penyelidikan dan praktis antarabangsa yang seimbang dengan budaya dan konteks persekitaran negara kita. 
     
    Dunia yang kini kian moden memerlukan para jururawat dan bidan memberikan komitmen yang penuh dalam menimba ilmu pengetahuan, menjana kepimpinan dan memperkasa pengurusan kejururawatan dan perbidanan yang kukuh bagi menyumbang kepada kesejahteraan dan kesihatan seseorang pesakit. 
     
    Memperkuatkan kemahiran yang menyerlahkan pengaruh yang cemerlang, melahirkan kerjasama yang kuat di antara jururawat dan bidan dengan profesional kesihatan yang lain supaya dapat memberikan perkhidmatan kesihatan yang mantap dan bersepadu.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda