ZAGREB, 29 APRIL – Pengawal di sempadan Croatia-Bosnia telah menemui fosil haiwan berusia 15 juta tahun dalam but sebuah kereta, kata polis Croatia semalam.
Penemuan termasuk tulang rahang dan gigi yang dipercayai berasal dari keturunan gajah moden, badak sumbu, khinzir dan spesies lain yang sudah pupus, menurut Drazen Japundzic dari Muzium Sejarah Asli Zagreb.
“Elemen fosil yang berharga itu pastinya akan memberi kami pengetahuan saintifik baharu mengenai kehidupan, iklim dan alam sekitar era prasejarah Bumi,” Japundzic dipetik dalam kenyataan polis.
Pakar muzium dipanggil selepas pengawal sempadan Croatia merampas puluhan barangan dari but sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki Slovenia berusia 46 tahun dari Bosnia hampir dua minggu lalu.
Polis berkata item itu akan ‘menarik minat peniaga haram’ namun mereka tidak berkata sama ada pemandu Slovenia itu telah ditahan atau dia disyaki melakukan jenayah.
Fosil dipercayai datang dari sebuah lombong berhampiran bandar tengah Bosnia Bugojno. Japundzic berkata serpihan tersebut wujud sejak era Miocene, kira-kira 15 juta tahun lalu, dan berasal daripada spesies termasuk Gomphotherium dan Prodeinotherium, keturunan gajah moden. – AFP