Friday, November 29, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fosil buaya purba pertama kali ditemui

    LIMA, 28 NOV – Ahli paleontologi semalam mendedahkan penemuan fosil seekor buaya laut muda berusia sekitar 10 hingga 12 juta tahun yang ditemui di padang pasir Peru.

    Fosil buaya spesies gharial, atau dikenali sebagai buaya pemakan ikan, sepanjang kira-kira tiga meter itu ditemui dalam keadaan sempurna pada penghujung tahun 2023, di padang pasir Ocucaje Peru, sekitar 350 kilometer di selatan ibu kota Lima.

    “Kami menemui fosil anak spesies ini buat kali pertama. Ini bermakna ia belum mencapai saiz maksimumnya sebelum ia mati,” kata ahli paleontologi vertebrata, Mario Gamarra, dalam sidang media.

    Menurut Gamarra, yang mengetuai rekonstruksi fosil tersebut, tengkorak dan rahang spesies buaya itu berbeza dengan buaya dan aligator moden.

    “Buaya ini memiliki muncung yang panjang dan dietnya sepenuhnya bersifat piscivor terdiri daripada ikan,” jelasnya, sambil menambah bahawa kerabat terdekat spesies ini pada masa kini ialah gharial India.

    Fosil buaya berusia 10 juta tahun daripada genus Piscogavialis telah didedahkan di Lima pada 27 November oleh Institut Geologi, Perlombongan dan Metalurgi Peru (Ingemmet). – AFP

    Penemuan itu adalah hasil usaha bersama Institut Geologi, Perlombongan dan Metalurgi Peru dengan sekolah La Union.

    Padang pasir Ocucaje di Peru merupakan kawasan kaya fosil, termasuk ikan paus kerdil berkaki empat, ikan lumba-lumba, jerung dan spesies lain dari zaman Miosen, iaitu sekitar 5 hingga 23 juta tahun lalu, yang turut ditemui di kawasan tersebut sebelum ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda