Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fosil ikan lumba-lumba berusia 12 juta tahun ditemui di Peru

    LIMA, 18 SEPT – Ahli paleontologi Peru kelmarin telah mendedahkan tentang penemuan fosil ikan lumba-lumba prasejarah dijangka berusia 12 juta tahun yang ditemui berhampiran pantai Pasifik negara itu.

    Fosil berukuran 3.5 meter itu telah ditemui pada Julai lalu oleh seorang ahli paleontologi Peru, Mario Urbina, di gurun Ocucaje, kira-kira 350 kilometer di selatan bandar Lima.

    Ketika membentangkan penemuannya di Institut Geologi, Perlombongan dan Metalurgi di Lima, Urbina berkata, fosil tersebut merupakan spesimen ikan lumba-lumba yang jarang dijumpai daripada formasi geologi Pisco iaitu sebuah kawasan terpelihara yang terkenal dengan fosil marin.

    Seorang lagi ahli paleontologi, Mario Gamarra berkata, keadaan fosil yang sangat baik itu akan memudahkan para saintis untuk membuat lebih banyak lagi kajian mengenai mamalia laut prasejarah tersebut, iaitu dari segi “bagaimana haiwan itu bergerak, berenang, apa yang dimakan oleh haiwan itu dan berapa lama haiwan itu hidup.”

    Gurun Ocucaje dianggap sebagai tempat yang sangat popular bagi pemburu fosil.

    Rangka paus berkaki empat, ikan lumba-lumba, jerung serta spesies lain dari zaman Miosen yang berusia lima juta hingga 23 juta tahun dahulu, adalah antara fosil yang turut ditemui di kawasan tersebut. – AFP

    Gambar ini menunjukkan rangka fosil seekor ikan lumba-lumba berusia 12 juta tahun yang dijumpai di gurun Ocucaje, di Lima, Peru pada 17 September. – Reuters
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda