NEW YORK, 7 OKT – Salah satu spesimen fosil T-Rex paling lengkap di dunia dijual dengan harga AS$31.8 juta semalam oleh Christie’s di New York, hampir empat kali ganda daripada harga tertinggi sebelumnya untuk dinosaur pada pelelongan.
Haiwan tersebut melepasi harga permulaan Christie’s di antara enam dan lapan juta dolar, menunjukkan kuasa berpanjangan T-Rex.
Ia seterusnya mengatasi rekod sebelumnya yang ditetapkan oleh spesimen bernama Sue yang dijual dengan harga AS$8.4 juta pada Oktober 1997 oleh Sotheby’s kepada Muzium Sejarah Asli di Chicago. Hanya sekitar 50 fosil Tyrannosaurus ditemui sejak pertama digali pada 1902.
Bidaan mencecah AS$9 juta dalam kurang dua minit selepas pelelongan bermula, namun selepas 14 minit, hanya terdapat tiga pembida dalam persaingan, sehingga bidaan terakhir ditetapkan pada tawaran AS$27.5 juta, yang termasuk kos dan komisen.
Penjualan itu dianjurkan di New York, di mana pakar penilaian berada, tetapi dengan talian dibuka kepada Hong Kong dan London, di mana pakar Christie’s menerima panggilan daripada pengumpul.
Fosil itu, diberi nama gelaran Stan, mencecah 13 kaki tinggi dan 40 meter panjang, dengan tanda tebuk di tengkorak dan leher dipercayai bukti perkelahian dengan rakan T-Rex lain. Ia mungkin mempunyai berat kira-kira lapan tan apabila masih hidup, kira-kira 67 juta tahun lalu.
Fosil itu ditemui di DakotaSelatan pada 1987 dan dinamakan sempena ahli paleontologi yang menemui rangka itu, Stan Sacrison.
Ahli paleontologi dari Institut Penyelidikan Geologi Black Hills di Dakota Selatan menghabiskan lebih 30,000 jam mengeluarkan fosil itu dan memasang 188 tulang rangkanya. – AFP