TAIPEI, 19 DIS – Foxconn Taiwan sedang berbincang dengan syarikat gergasi kereta Perancis, Renault untuk membeli kepentingan utamanya dalam pengeluar kereta Jepun Nissan, menurut satu laporan hari ini, selepas firma Jepun itu menolak pertanyaannya mengenai pelaburan.
Perkembangan itu adalah susulan laporan semalam mengatakan Nissan dan pesaing tempatan, Honda sedang berbincang tentang penggabungan untuk membantu mereka bersaing dengan Tesla dan pembuat kenderaan elektrik China.
Foxconn, juga dikenali dengan nama rasmi Hon Hai Precision Industry, ialah pengeluar elektronik kontrak terbesar di dunia dan membina peranti untuk syarikat teknologi utama, termasuk iPhone Apple.
Namun ia telah bertindak untuk mempelbagaikan operasi di luar pengeluaran elektronik, menembusi bidang daripada kenderaan elektrik kepada semikonduktor dan pelayan.
Agensi Berita Pusat Taiwan memetik sumber industri yang tidak dinamakan sebagai berkata Jun Seki, Ketua Pegawai Strategi Foxconn untuk EV, telah mengunjungi Perancis untuk berunding dengan Renault, yang memiliki pegangan penting dalam Nissan.
Laporan itu berkata Foxconn ‘telah menyatakan kerelaannya secara langsung’ kepada Nissan untuk membeli ekuiti tetapi selepas ‘Nissan tidak bersetuju,’ ia berjumpa dengan Renault.
“Seki dan pasukannya kini sedang berunding dengan Renault di Perancis, dengan harapan Renault akan bersedia untuk melepaskan ekuitinya dalam Nissan kepada Hon Hai,” tambah laporan itu.
Foxconn tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen. – AFP


