TAIPEI, 31 MEI – Syarikat teknologi Taiwan, Foxconn berkata pada hari ini pasaran global untuk pelayan (server) kecerdasan buatan (AI) miliknya dijangka meningkat kepada 40 peratus tahun ini, dengan produk AI menjadi pemacu utama pertumbuhan.
Foxconn ialah pembuat elektronik berkontrak terbesar di dunia dan membangunkan peranti untuk beberapa jenama global, terutamanya iPhone.
Ia juga telah berkembang untuk mempelbagaikan produk elektroniknya termasuk kenderaan elektrik, semikonduktor dan pelayan.
Pengerusinya, Young Liu berkata pada mesyuarat pemegang saham tahunan di Taipei bahawa syarikat itu adalah ‘pengeluar utama’ dalam pelayan AI.
“Dianggarkan bahagian pasaran kami (untuk pelayan AI) tahun ini akan mencecah 40 peratus, iaitu tahap yang sama untuk semua pelayan kami,” katanya sambil menambah ia akan meningkat daripada 30 peratus tahun lepas.
“Kami juga percaya bahawa industri AI masih di peringkat awal pertumbuhan pesat, ia juga akan menjadi salah satu jentera penggerak utama untuk pertumbuhan masa depan kami,” tambahnya. – AFP
