Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Foxconn, Nvidia kerjasama wujud kilang AI

    TAIPEI, 18 OKT – Syarikat teknologi gergasi Taiwan, Foxconn dan pemimpin perkakasan Amerika Syarikat (AS), Nvidia hari ini berkata mereka akan bekerjasama untuk mewujudkan ‘kilang AI’, pusat pemprosesan data canggih yang akan memacu pembuatan produk generasi akan datang seperti kereta elektrik.

    Foxconn, pengeluar elektronik kontrak terbesar di dunia yang dikenali secara rasmi sebagai Kumpulan Teknologi Hon Hai memainkan peranan penting dalam pemasangan gajet untuk jenama global terkemuka, termasuk iPhone Apple.

    Tetapi ia berhasrat untuk mempelbagaikan peranannya selain daripada pemasangan elektronik – malah menerima perniagaan kenderaan elektrik yang kompetitif tetapi berkembang pesat dengan memperkenalkan kereta konsep pada Hon Hai Tech Day dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Tahun ini, pengerusinya, Young Liu membuka acara tahunan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang untuk memperkenalkan ‘kelas baharu pusat data yang menjanakan pelbagai aplikasi’.

    Nvidia yang berpangkalan di Silicon Valley, terkenal dengan pembangunan unit pemprosesan grafik (GPU), teknologi cip berkuasa yang bermula sebagai tulang belakang permainan video moden – tetapi kini telah menjadi tonggak penting dalam pembangunan pesat AI generatif.

    “Bersama-sama kami akan membantu seluruh industri bergerak lebih pantas ke era AI baharu,” Liu mengumumkan di atas pentas bersama Huang.

    ‘Kilang’ itu termasuk ‘pendigitalan aliran kerja pembuatan dan pemeriksaan, pembangunan kenderaan elektrik dan platform robotik berkuasa AI dan semakin banyak perkhidmatan AI generatif berasaskan bahasa’, menurut Nvidia. – AFP

    Huang (kiri) dan Young Liu memperkenalkan produk baharu semasa Hon Hai Tech Day di pusat pameran Nangang di Taipei, Taiwan, kelmarin. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda