Wednesday, October 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Foxconn umum pembinaan kilang ‘supercip’ terbesar di dunia

    TAIPEI, 8 OKT – Syarikat gergasi teknologi Taiwan, Foxconn hari ini mengumumkan bahawa ia sedang membina kilang pengeluaran terbesar di dunia untuk ‘supercip’ GB200 milik peneraju perkakasan Amerika Syarikat (AS), Nvidia, yang digunakan untuk pelayan kecerdasan buatan (AI).

    Foxconn, juga dikenali dengan nama rasmi Hon Hai Precision Industry, merupakan pengeluar elektronik kontrak terbesar di dunia dan memasang peranti untuk syarikat teknologi utama, termasuk Apple.

    Dengan hasrat berkembang di luar komponen elektronik, syarikat tersebut sedang meneroka bidang seperti kenderaan elektrik, semikonduktor dan pelayan.

    “Kami sedang membina kemudahan pengeluaran GB200 terbesar di dunia,” kata Eksekutif Kanan, Benjamin Ting pada Hari Teknologi Hon Hai syarikat itu.

    “Saya tidak boleh menyatakan lokasinya sekarang, tetapi ia adalah yang terbesar di dunia,” kata Ting, Naib Presiden Kanan Foxconn untuk perniagaan penyelesaian perusahaan awan.

    Pengerusi Young Liu ketika membuka acara selama dua hari itu berkata bahawa Foxconn akan menjadi kilang ‘yang pertama menghantar supercip ini.’

    Liu kemudian memberitahu wartawan bahawa kilang baharu itu terletak di Mexico.

    Tidak seperti pesaingnya, Intel, Micron dan Texas Instruments, Nvidia tidak mengeluarkan cipnya sendiri tetapi menggunakan subkontraktor.

    Foxconn juga memperkenalkan prototaip kenderaan elektrik baharu pada hari teknologi tersebut, sebuah kenderaan utiliti pelbagai guna tujuh tempat duduk dan sebuah bas 21 tempat duduk.

    Ia merancang untuk melancarkan pelan untuk kenderaan elektrik seperti yang telah dilakukannya untuk gajet iaitu menjadi pembina kontrak utama.

    Foxconn mengumumkan tahun lalu ia akan bekerjasama dengan Nvidia untuk mencipta ‘kilang AI’, pusat pemprosesan data berkuasa yang akan memacu pengeluaran produk generasi akan datang. – AFP

    Young Liu berucap semasa Hari Teknologi Hon Hai di Taipei, pada 8 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda