LONDON, 27 Feb – Pengurus baharu Leicester City, Brendan Rodgers menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton ketika Foxes menewaskan Brighton 2-1, sementara Newcastle berjaya menjauhkan kedudukannya dari zon penyingkiran dengan menewaskan Burnley awal pagi tadi.
Rodgers disahkan menjadi pengganti Claude Puel hanya sebelum sepak mula di King Power selepas secara dramatik meninggalkan Celtic meskipun dalam laluan bagi tiga kejuaraan domestik buat kali ketiga berturut-turut di Scotland.
Rodgers menyaksikan kemampuan pasukan baharunya apabila Demarai Gray dan Jamie Vardy meletakkan pasukan hos di depan dengan jaringan 2-0 sebelum Davy Propper menjaringkan satu gol buat Brighton.
“Saya bercakap dengan mereka mengenai pengurus baharu dan turut mengatakan bahawa kami perlu menumpukan perhatian pada perlawanan.
“Dia telah memberikan rangsangan kepada para pemain. Dia berkata tidak sabar untuk mula bertugas,” kata pengurus sementara Leicester, Mike Stowell.
“Ia adalah musim yang sukar di dalam dan luar padang tetapi saya fikir kami seharusnya berada di kedudukan ketujuh berdasarkan kualiti yang kami ada.
“Kemenangan hari ini telah memecahkan badi empat kekalahan dan berharap kemerosotan sudah berakhir kerana masih banyak perlawanan perlu dihadapi, mari lihat ke hadapan bukan ke belakang.”
Bagaimanapun, kemerosotan membimbangkan Brighton ke bawah carta berterusan apabila mereka gagal meraih gol penyamaan dan kini belum menang dalam tujuh perlawanan liga.
Newcastle menuju ke arah bertentangan selepas sekali lagi mereka mendapat inspirasi dari persembahan penandatangan rekod, Miguel Almiron bagi menamatkan lapan perlawanan tanpa kalah Burnley dalam Liga Perdana dengan kemenangan 2-0.
Ledakan jarak jauh Fabian Schar telah meletakkan skuad kendalian Rafael Benitez di depan sebelum Sean Longstaff menjaringkan gol pertamanya untuk kelab bagi memberikan Newcastle kelebihan selesa di separuh masa pertama. – AFP