Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Francis Chiew dinobatkan sebagai juara bagi Kategori Pukulan Gross Divisyen A dalam Kejohanan Golf Amal ED Pertubuhan Juru Ukur, Jurutera dan Arkitek Amal (PUJA) 2017, apabila berjaya menewaskan Dullah Sitai yang ketinggalan lapan pukulan di belakang untuk menyandang tempat naib juara dan berada di tempat ketiga adalah Chua Pheng Keong.
Dalam masa yang sama, Kolonel Kamarudzaman bin Mohd Thani pula menjadi pemenang tunggal bagi Kategori Pukulan Nett Divisyen A dengan 76 pukulan dan menerima hadiah kemenangan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar di padang golf Kelab Rekreasi Diraja Brunei di Berakas hari ini.
Juara dalam Kategori Pukulan Gross Divisyen B adalah Menuddin bin Haji Mohd Daud, sementara bagi Kategori Pukulan Nett Divisyen B pula dimenangi oleh Baek Min.
Dalam persaingan Divisyen C bagi Kategori Pukulan Gross dimenangi oleh Julian Fung, manakala Rashid bin Haji Abdul Rahman pula memenangi Kategori Pukulan Nett Divisyen C.
Siti Zabidah binti Hassan pula berjaya menjuarai dalam Kategori Pukulan Nett Wanita, meninggalkan saingan terdekatnya Mary Hiew yang berada di tempat kedua dan diikuti oleh Vanesa Bouvet yang terpaksa akur di tempat ketiga kategori itu.
Turut menerima hadiah sampingan kejohanan ialah Alfred Goh, Lim Soon Bee, Han Ki Hyun, Rizal Hadi dan Ron Faisal.