Selepas boneka istimewa dihasilkan peminat setia, penyanyi popular era 1980-an, Datuk Francissca Peter terus mendapat pengiktirafan peminat apabila syarikat percetakan menghasilkan kemeja-T dan kasut khas sebagai penghormatan atas sumbangannya terhadap industri muzik tanah air.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran meluahkan rasa terharu atas penghormatan diberikan syarikat Abih Pikior kerana memilihnya dalam projek istimewa.
Francissca, 62, berkata, sebagai seorang penyanyi yang sudah lama berkecimpung dalam dunia nyanyian dan pengiktirafan sebegini cukup bermakna buatnya.
Katanya, dia tidak menyangka masih ada yang sudi menghargai bakat nyanyiannya meskipun kehadiran ramai pelapis baharu.
“Saya amat berbesar hati, terharu dan bertuah apabila mereka memilih menjadikan saya sebagai rekaan baharu untuk projek istimewa ini.

“Bagaimanapun, saya tak menyangka ada pihak sudi menjadikan wajah dan nama saya atas produk. Ini merupakan satu penghormatan besar buat saya.” katanya kepada BH Online.
Sementara itu, pemilik syarikat percetakan, Kimi berkata, dia terinspirasi untuk menghasilkan rekaan khas itu disebabkan impak besar Francissca terhadap muzik dan budaya Malaysia.
“Beliau adalah ikon yang melambangkan keanggunan dan kasih sayang. Muziknya meresap dengan mendalam kepada semua orang dari pelbagai lapisan masyarakat dan saya berasa amat teruja untuk menghasilkan rekaan baju dan kasut khas untuk peminatnya.
“Kasut khas yang direka dengan teliti oleh pasukan Abih Pikior, menampilkan butiran yang diinspirasikan oleh gaya tersendiri Francissca. Dengan pemilihan warna terang dan cetakan halus, setiap elemen mencerminkan kehadiran penyanyi ikonik ini.
“Saya ingin menunjukkan karisma Francissca dapat diterjemahkan jadi karya seni yang boleh dipakai. Ketelitian dalam penghasilan koleksi ini ibarat menghasilkan cinta,” katanya. – Agensi

