DOHA, 30 SEPT – Ratu pecut Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce menang pingat emas keempatnya selepas menjuarai acara 100 meter Kejohanan Olahraga Dunia di sini pagi tadi manakala legenda Amerika Syarikat (AS), Allyson Felix memecahkan rekod pungutan pingat emas milik Usain Bolt.
Fraser-Pryce dan Felix, masing-masing kembali ke gelanggang selepas berehat susulan melahirkan anak, memukau pada hari ketiga kejohanan yang berlangsung di Stadium Khalifa itu.
Fraser-Pryce, 32, yang tidak mengambil bahagian dalam kejohanan sama pada 2017 susulan melahirkan anak sulungnya, merakam 10.71 saat untuk menang emas.
Atlet Britain, Dina Asher-Smith menang perak dengan catatan 10:83 saat manakala bintang Ivory Coast, Marie-Josee Ta Lou menang gangsa dengan catatan 10:90 saat.
“Saya benar-benar gembira dapat berdiri sekali lagi di sini sebagai pemenang selepas melahirkan anak,” kata Fraser-Pryce.
“Atlet ibu terus menyerlah. Kami bangga masih mampu mengekalkan prestasi dan saya amat gembira dengan kemenangan ini.”
Fraser-Pryce menjuarai Kejohanan Dunia pada 2009, 2013 dan 2015 sebelum berehat untuk membesarkan anak lelakinya, Zyon yang kini berusia dua tahun. – AFP