BERLIN, 30 SEPT – Jaringan lewat Gian-Luca Waldschmidt melonjakkan Freiburg ke tangga ketiga Bundesliga selepas bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 ke atas Fortuna Duesseldorf, awal pagi tadi.
Kelab dari Black Forest itu menjadi salah satu daripada lima pasukan yang hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Bayern Munich dan dua mata di depan Borussia Dortmund yang terperosok ke tangga kelapan liga susulan keputusan seri 2-2 di gelanggang sendiri, Sabtu lalu.
Freiburg akan menanti kunjungan Dortmund minggu depan tetapi jurulatih, Christian Streich enggan terbawa-bawa dengan prestasi baik yang ditampilkan anak buahnya.
“Bagus apabila kami sudah pun berada beberapa mata di atas zon penyingkiran, di Freiburg, semua itu penting,” katanya.
Duesseldorf terlebih dulu di depan pada minit ke-42 menerusi jaringan Rouwen Hennings tetapi pelawat tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Jonathan Schmid menampan mudah hantaran Christian Guenter pada minit ke-45. – AFP
