Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Frekuensi 5G selamat

    KUALA LUMPUR, 3 Mei – Radiasi selular atau teknologi frekuensi radio dalam rangkaian 5G adalah selamat dan tidak berbahaya kepada kesihatan seseorang, termasuk kanak-kanak, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.

    Beliau berkata cerita-cerita yang menakutkan orang ramai kononnya 5G boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk barah, terutama pada kanak-kanak, adalah mengarut.

    “Sudah tentu 5G selamat dan tidak memberi kesan kepada manusia pada tahap mana sekalipun termasuk bagi kanak-kanak di rumah…. 5G tidak boleh memberi kesan kepada molekul kita kerana ia cuma menghasilkan haba,” kata Al-Ishsal ketika ditemu bual dalam program.

    “Breakfast Grille programme” yang disiarkan oleh BFM Radio hari ini. Beliau berkata ia adalah hasil dapatan satu kajian oleh SKMM dan disahkan oleh pakar mengenai spektrum, Prof Dr Tharek Abd Rahman, yang juga Ahli Suruhanjaya SKMM.

    “Bukan sahaja SKMM, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menjalankan kajian sejak lebih 30 tahun lepas terhadap kira-kira 25,000 penerbitan bahan hasil kajian yang secara jelas menyatakan bahawa tiada kesan daripada pendedahan kepada medan elektromagnetik bertahap rendah,” kata beliau.

      Diminta mengulas pelan kesalinghubungan SKMM untuk masa depan, beliau berkata suruhanjaya itu telah menyenaraikan tujuh objektif di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) termasuk pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada kadar 1 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK / GNI) menjelang 2020 dan ketersediaan kelajuan Gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang 2020 dan ke semua ibu negeri menjelang 2023.

    Beliau berkata objektif lain ialah 100 peratus premis di ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpillih tersedia dengan capaian minima 500Mbps menjelang tahun 2021, 20 peratus premis di kawasan pinggir bandar dan luar bandar tersedia dengan capaian sehingga 500Mbps  menjelang 2022 dan kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2023)

    Beliau menambah, adalah menjadi aspirasi kerajaan untuk menjangkau dan memastikan seluruh masyarakat mendapat kesalinghubungan terbaik termasuk bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

    “Kita masih mempunyai segmen masyarakat yang masih belum mempunyai walaupun satu sambungan meskipun akses kepada Internet adalah satu perkhidmatan utiliti yang asas…  buat masa ini kita mempunyai 870 Pusat Internet terutama di kawasan luar bandar dan kawasan miskin yang memberi manfaat kepada 600,000 rakyat Malaysia. – Bernama

    Al-Ishsal Ishak ketika temu ramah dengan wartawan Bernama pada Pameran 5G Malaysia di Kompleks Perbadanan Putrajaya. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda