HOUSTON, 13 Julai – French Guiana berdepan hukuman disiplin dan keputusan perlawanan mereka menentang Honduras akan ditarik balik selepas bekas bintang Perancis, Florent Malouda dimainkan awal pagi kelmarin meskipun tidak boleh diturunkan.
Bekas pemain Perancis dan Chelsea itu berada dalam senarai kesebelasan utama pasukan itu yang berakhir dengan seri tanpa jaringan dengan Honduras dalam Piala Emas CONCACAF.
Menurut peraturan CONCACAF, Honduras perlu diberikan kemenangan 3-0 kerana French Guiana jelasnya melanggar peraturan, menurut laporan Sports Illustrated.
“Peraturan menyatakan bahawa dia tidak boleh diturunkan,” menurut kenyataan seorang jurucakap CONCACAF yang dipetik dari Sports Illustrated.
“Kami menggunakan peraturan FIFA, yang mana pemain yang sudah bermain dalam perlawanan rasmi dengan pasukan kebangsaan lain tidak boleh bermain dalam Piala Emas.”

Pengurus French Guiana, Jair Karam telah membuat keputusan untuk menurunkan pemain berusia 37 tahun itu meskipun satu arahan daripada ketua-ketua CONCACAF menyatakan bahawa dia tidak boleh diturunkan.
Susulan perlawanan itu, CONCACAF telah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa isu itu telah dirujuk kepada jawatankuasa disiplin kejohanan.
“Jawatankuasa Disiplin akan menilai semula kes itu dan memberikan keputusannya kemudian.”
Selepas tidak bermain dalam perlawanan pertama pasukan pendatang baru itu ketika menentang Kanada, Malouda telah diberikan lilitan kapten bagi perlawanan kedua French Guiana. – AFP