EASTBOURNE, 27 JUN – Taylor Fritz mencatatkan dua kemenangan dalam satu hari apabila pemain nombor lima dunia itu menewaskan Joao Fonseca dan Marcos Giron kelmarin untuk menghampiri kejuaraan Eastbourne keempat.
Perlawanan pusingan kedua Fritz dengan bintang Brazil yang semakin meningkat, Fonseca, ditangguh pada satu set akibat masalah lampu Rabu lalu.
Juara bertahan Fritz mengungguli set pertama 6-3, tetapi Fonseca yang berusia 18 tahun, di ranking ke-57, bangkit untuk memenangi set kedua 7-6 (7/5).
Apabila permainan disambung semula kelmarin, Fritz memenangi set penentuan 7-5 untuk mara ke peringkat lapan terakhir.
Pemain berusia 27 tahun itu, yang memenangi kejohanan gelanggang rumput di Stuttgart awal Jun, kembali ke gelanggang beberapa jam kemudian dan dicabar oleh rakan senegaranya, Giron.
Pemain pilihan utama, Fritz, akhirnya menang menentang pemain nombor 46 dunia itu, 7-5, 4-6, 7-5 untuk menempah tarikh separuh akhir dengan Alejandro Davidovich Fokina dari Sepanyol, hari ini.
Davidovich Fokina, di ranking ke-28, menewaskan pemain pilihan ketiga dari Czech, Jakub Mensik 6-4, 7-5 pada suku akhir.
Satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan pemain pilihan keempat Perancis, Ugo Humbert menentang pemain nombor 149 dunia dari Amerika Syarikat, Jenson Brooksby.
Humbert menewaskan Billy Harris 7-6 (7/4), 6-1, manakala Brooksby, yang memasuki kejohanan akibat penarikan diri pemain asal, dengan menewaskan Dan Evans 6-2, 6-3. – AFP


