SYDNEY, 29 DIS – Pemain tenis dunia kesembilan dari Amerika Syarikat (AS), Taylor Fritz dan pemain ranking dunia ke-11, Madison Keys mara dalam pertemuan menentang Republik Czech untuk mendapatkan kemenangan pertama dalam Piala United, kelmarin.
Kejohanan itu menampilkan 18 negara yang bermain di Sydney, Brisbane dan Perth dengan setiap pertandingan terdiri daripada dua acara lelaki perseorangan dan wanita perseorangan serta satu regu campuran sebagai acara pemanas badan sebelum Terbuka Australia bermula.
Fritz memberikan permulaan yang baik untuk negaranya dengan kemenangan 6-3, 6-4 ke atas pemain dunia ke-74, Jiri Lehecka di Arena Ken Rosewall, Sydney, sebelum Keys menewaskan Marie Bouzkova 6-4, 6-3.
Pemain berusia 25 tahun, Fritz melalui tahun 2022 yang cemerlang, mengalahkan juara Grand Slam 22 kali, Rafael Nadal dalam aksi final di Indian Wells untuk menambah koleksi kemenangannya di Tokyo dan Eastbourne.
Dia berjaya memecah rekod peribadi dengan berada dalam 10 ranking teratas, iaitu ranking kelapan pada bulan Oktober.

Fritz terlalu kuat buat Lehecka, berdepan hanya dua mata akhir sebelum menang dengan selesa dalam masa 75 minit. Pemain dari AS itu mengaku dia berasa sedikit gementar sebelum perlawanan bermula.
“Ini merupakan perlawanan pertama pada musim ini dan bermain dalam acara berpasukan menambah kepada (rasa gementar ini),” katanya.
“Saya rasa pada permulaan perlawanan, saya mengawal dengan lebih baik berbanding pihak lawan. Saya dapat mata akhir dengan cepat, kemudian saya terus kekalkan kelebihan itu.”
Keys, yang mara hingga ke peringkat separuh akhir Terbuka Australia pada tahun ini, bangkit semula dalam kedua-dua set untuk mengalahkan Bouzkova dalam masa 80 minit.
Bekas finalis Terbuka AS itu menundukkan pihak lawannya dari baseline. – AFP