Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fritz mara pusingan ketiga Shanghai Masters

    SHANGHAI, 8 OKT – Pemain tenis nombor tujuh dunia, Taylor Fritz, akhirnya mara ke pusingan ketiga Shanghai Masters semalam, selepas menewaskan pemain Perancis, Terence Atmane, dalam perlawanan yang ditangguhkan selama dua hari akibat hujan.

    Fritz, yang menyambung semula perlawanan dengan kedudukan 4-3 di set pertama, berjaya menundukkan pemain yang menduduki ranking ke-161 dunia itu dengan keputusan 7-6 (7/4), 7-6 (7/5).

    “Dia bermain dengan sangat baik, dan jika saya tidak berada pada tahap terbaik, saya mungkin akan kalah dalam perlawanan itu,” kata Fritz selepas kemenangan tersebut. “Saya hanya cuba kekal fokus dan bermain dengan baik pada saat-saat genting.”

    Fritz dijadualkan bertemu pemain kelayakan Jepun, Yosuke Watanuki, pada pusingan ketiga.

    Pemain nombor 10 dunia, Grigor Dimitrov, turut melengkapkan perlawanan tertunda apabila menewaskan pemain Belgium, Zizou Bergs, dengan keputusan 6-3, 3-6, 6-2. Dimitrov akan berdepan Alexei Popyrin dari Australia pada pusingan seterusnya.

    “Ia sangat mencabar dalam beberapa hari ini,” kata Dimitrov.

    “Namun, kami perlu memanfaatkan apa yang ada dan meneruskan pertandingan,” tambahnya.

    Dalam perkembangan lain, pemain Amerika Syarikat, Frances Tiafoe, menamatkan harapan wakil tuan rumah, Zhou Yi, selepas menewaskannya dengan keputusan 6-2, 6-4.

    “Zhou bermain dengan baik. Walaupun ia kelihatan seolah-olah berat sebelah, set kedua sangat sukar,” kata Tiafoe yang akan berdepan pemain Rusia, Roman Safiullin, pada pusingan ketiga. Dia menyifatkan lawannya sebagai ‘kuda hitam’ yang luar biasa.

    “Dia mampu menewaskan ramai pemain. Walaupun musimnya tidak konsisten, dia mempunyai kemampuan yang luar biasa,” tambah Tiafoe. – AFP

    Fritz ketika beraksi pada kejohanan tenis Shanghai Masters di Pusat Tenis Qizhong Forest Sports City di Shanghai, China, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda