Frontliners tukar atau lepas kerja jika enggan divaksin

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Petugas barisan hadapan (frontliners) merupakan benteng pertahanan negara dan jika ia rapuh, ia tidak akan dapat membantu masyarakat di tengah-tengah penularan COVID-19 ketika ini.

Sehubungan itu, mereka dimestikan untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19 berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.

Jika mereka masih enggan mendapatkan vaksin, mereka terpaksa bertukar kerja atau melepaskan kerja mereka, kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media harian COVID-19 hari ini.

Manakala bagi penjawat awam atau mana-mana syarikat, Yang Berhormat Dato menyeru dan menasihatkan mereka mengambil suntikan vaksin kerana jika ia tidak dilakukan, ia akan melaratkan lagi keadaan dihadapi pada masa ini.

Tambahan lagi, jika ekonomi dibuka semula, kemungkinan besar penggunaan pas-port vaksin akan dilaksanakan dan mereka yang tidak memilikinya akan menyukarkan pergerakan mereka kelak, ujar beliau.