Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    FTI tawar 3 program baharu

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Seiring kemajuan dunia digital yang menghadirkan pelbagai nama atau istilah baharu dalam bidang teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan realiti tambahan atau terimbuh (AR), UNISSA melalui Fakulti Teknologi Islam (FTI) akan mula menawarkan tiga program baharu pada sesi pengajian 2024/2025
    ini.

    Menurut kenyataan dari UNISSA, program berkenaan adalah Ijazah Sarjana Muda Sains Data Islam, Ijazah Sarjana Digital Teknologi Islam dan Inovasi dan Ijazah Doktor Falsafah Digital Teknologi Islam dan Inovasi.

    Data sains merupakan bidang yang berkembang pesat pada masa kini. Keperluan terhadap kemahirannya melonjak disebabkan faktor perkembangan ledakan data yang terkumpul dan memerlukan pakar untuk menterjemah atau mentafsir dan menganalisis.

    Semua itu sangat diperlukan oleh banyak pihak termasuklah ahli-ahli korporat dan eksekutif dalam membantu mereka membuat keputusan yang strategik, efektif dan terarah berdasarkan data yang autentik.

    UNISSA dalam perkembangan teknologi ini berhasrat memainkan peranan dalam melahirkan para saintis data yang berkemahiran tinggi dipasak pengetahuan Islam yang padu dalam bidang-bidang utama seperti bahasa pengaturcaraan, algoritma, struktur data, organisasi komputer, pengurusan pangkalan data, rangkaian komputer, kejuruteraan perisian dan keselamatan siber.

    Gambar Freepik

    FTI seterusnya juga akan turut menawarkan dua lagi program peringkat siswazah pada tahun ini iaitu Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah Digital Teknologi Islam dan Inovasi.

    Penawaran itu sangat signifikan kerana permintaan terhadap keperluan tenaga kerja berkemahiran dalam kepakaran digital dan meningkat khususnya selepas era pandemik yang baru lalu. Itu terbukti dengan permintaan kepada peralatan dan proses digital meningkat di pasaran justeru tenaga pengendalinya turut sama diperlukan.

    Program itu akan berfokus kepada inovasi dan pembangunan teknologi berteraskan nilai-nilai Islam, program itu menawarkan peluang kepada para pelajar untuk mengeksplorasi bidang baharu dalam e-dagang sekali gus mengenal pasti peluang keusahawanan-tekno dan lain-lain bidang yang signifikan dalam pembangunan negara.

    Sebagai sebuah universiti yang mengangkat Islam sebagai teras setiap kursusnya, program tersebut sangat relevan diwujudkan sebagai memenuhi keperluan negara dalam memacu transformasi digital yang digariskan dalam Rancangan Induk Ekonomi Digital 2025.

    Dengan penawaran program-program baharu ini, UNISSA berharap ia akan menjadi mercu tanda dalam bidang pengajian Islam dan teknologi digital di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. UNISSA juga mengalu-alukan para calon yang berminat untuk menyertai program-program ini dan menyumbang kepada perkembangan ilmu dan peningkatan penyelidikan dalam bidang teknologi digital, inovasi dan sains data.

    Untuk maklumat lanjut mengenai program-program itu, sila hubungi Pejabat Pendaftaran UNISSA di talian 2462000 atau layari laman web rasmi www.unissa.edu.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda