Pasangan penyanyi, Fuad Rahman dan Tom melangsungkan pernikahan di Batam, Indonesia, hari ini.
Perkara itu disahkan pengurus Tom, Alan, ketika dihubungi BH Online.
Alan berkata Fuad dan Tom memilih bernikah di Batam atas alasan sendiri.
“Iya betul.. Kalau hendak diikutkan, mereka bernikah di Malaysia pada 5 Mac depan. Namun, tarikh itu dipercepatkan.
“Fuad dan Tom memilih bernikah di Batam.
Jika bernikah di Malaysia, ada banyak perkara perlu diselesaikan membabitkan bekas pasangan masing-masing.
“Mereka akan mendaftarkan pernikahan itu di Malaysia sebaik pulang kelak,” katanya.
Terdahulu, Tom atau nama sebenar, Raja Farah Raja Afzal Raja Ikram memuat naik foto di Instagram (IG) memaparkan inai di jari dan memegang sebentuk cincin.
Fuad dan Tom dijangka melangsungkan persandingan selepas Aidilfitri ini.
Pasangan ini pernah menjalinkan hubungan cinta pada 2005, namun, ikatan terputus lima tahun kemudian.
Hubungan Fuad dan Tom kembali bertaut selepas masing-masing terbabit dalam musim kesembilan program realiti, Gegar Vaganza (GV9). – Agensi