Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fulham bangkit atasi Brentford

    LONDON, 5 NOV – Harry Wilson menjaringkan dua gol pada masa kecederaan untuk memberikan Fulham kemenangan dramatik 2-1 ke atas Brentford kelmarin.

    Vitaly Janelt menjaringkan gol untuk meletakkan Brentford dihadapan walaupun permainan tidak memihak kepada mereka pada pertengahan separuh masa pertama.

    Fulham berasa tertekan sehingga masa tambahan apabila Harry Wilson yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol penyamaan dengan satu sentuhan, sebelum menanduk masuk gol kemenangan pada saat-saat akhir.

    “Ia satu perasaan yang menakjubkan dapat masuk ke padang dan menjaringkan dua gol untuk memenangi perlawanan. Kami memang layak untuk menang, kami terus memberikan tekanan kepada mereka sepanjang masa,” kata Wilson.

    Kemenangan itu melonjakkan pasukan kendalian Marco Silva ke tangga kesembilan dan hanya tiga mata di belakang empat teratas.

    Reaksi Wilson selepas menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di stadium Craven Cottage di London pada 4 November. – AP

    Brentford hampir berada di separuh teratas kedudukan sehingga perubahan mendadak di saat akhir, tetapi mereka kekal di tempat ke-12.

    Fulham gagal memanfaatkan permulaan yang baik apabila percubaan Reiss Nelson dinafikan oleh Mark Flekken.

    Brentford hampir tidak memberi ancaman sebelum mendahului pada minit ke-24 apabila Janelt membuat percubaan dari jarak jauh dan melepaskan rembatan deras melepasi Bernd Leno.

    Emile Smith Rowe mensia-siakan peluang besar untuk menyamakan kedudukan dengan segera dan pasukan tuan rumah bergelut untuk menembusi barisan pertahanan Brentford selepas separuh masa.

    Fulham hanya berjaya menewaskan Flekken pada percubaan ke-25, apabila usaha kreatif Wilson melambung melepasi penjaga gol Belanda itu hasil hantaran lintang Adama Traore.

    Beberapa saat kemudian, pemain antarabangsa Wales itu menjaringkan gol kedua. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda