Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Seramai 27 kanak-kanak kurang berkemampuan diberi peluang untuk menikmati pengalaman yang menyeronokkan dalam acara Fun Day di Taman Permainan Funzania D’Annex, kelmarin.
Acara berkenaan dianjurkan oleh pertubuhan Care4Komuniti (C4K) dengan kerjasama badan bukan kerajaan tempatan, Hand4Hand serta disokong dengan sumbangan daripada kumpulan kakitangan sebuah syarikat swasta di Negara Brunei Darussalam.
Acara berkenaan meraikan 13 kanak-kanak daripada kompleks rumah kebajikan dan 14 kanak-kanak kurang berkemampuan dengan pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang hari yang menawarkan peluang untuk berinteraksi dan memberi keriangan kepada peserta.
Penasihat bagi jawatankuasa C4K, Nur Khairunnisa M Jasni menyatakan penghargaan kepada semua yang telah menyumbang dalam menjayakan acara berkenaan dan amat menghargai penyertaan kanak-kanak dalam acara tersebut.
Nur Khairunnisa seterusnya menyatakan bahawa C4K berhasrat untuk mengumpul sumbangan bagi menyokong projek-projek kemasyarakatan di mana sumbangan berkenaan telah didermakan oleh pekerja-pekerja di Brunei dan turut menyeru bersama-sama dapat meningkatkan standard dan menunjukkan perasaan kasih kepada masyarakat yang memerlukan.
Acara tersebut bukan sahaja berjaya untuk menggembirakan kanak-kanak tetapi juga mengukuhkan semangat sokongan dan kemasyarakatan dan diharapkan lebih banyak inisiatif seumpama dapat dianjurkan di masa hadapan dalam menghulurkan bantuan dan sokongan kepada mereka yang memerlukan.