Oleh Nurdiyanah R. –
TEMBURONG, 10 JUN – Family Fun Walk sejauh 1.39 kilometer dengan membawa tema Flora dan Fauna menjadi salah satu aktiviti penutup Program ke Temburong Bisai (KTB) Edisi Hari Keluarga Kebangsaan 2024, kelmarin.
Program selama empat hari yang diadakan di kawasan Gerai Permata Hijau, Pekan Bangar, Daerah Temburong itu dianjurkan oleh majlis-majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Temburong dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong dengan tujuan mewujudkan semangat harmoni dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat khususnya yang menetap di daerah yang turut dikenali dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ itu.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar untuk merasmikan program berkenaan dan seterusnya turut menyertai aktiviti berjalan santai.
Turut menyertai acara berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir dan Ketua Kampung Menengah, Awang Mohammad Aiman bin Haji Ali serta penduduk setempat di daerah tersebut.
Antara pengisian Program KTB pada kali ini adalah aktiviti jualan KTB yang disertai pengusaha produk kampung, pengusaha kecil dan sederhana, KTB Hunt, Program Lailatul Usrah dan KTB Car Boot Sale.
Di samping itu, para peserta juga berkesempatan beriadah sambil menderma ke Tabung Derma Anak-anak Yatim Daerah Temburong.