LOS ANGELES, 24 MAC – Sebastian Fundora menumbangkan Chordale Booker pada pusingan keempat Sabtu lalu untuk mengekalkan gelaran dunia super welterweight Majlis Tinju Dunia (WBC) dan Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) di Las Vegas.
Fundora, dengan ketinggian enam kaki enam inci dan digelar ‘Towering Inferno,’ mengekalkan gelaran pertama dimenanginya pada Mac lalu dengan kemenangan berdasarkan keputusan majoriti ke atas petinju Australia, Tim Tszyu.
Juara Amerika itu menumpaskan rakan senegaranya Booker pada pusingan ketiga dan menjatuhkannya dua kali pada pusingan keempat – dengan tumbukan sauk dan sepasang tumbukan atas mendorong Booker jatuh di atas gelanggang dan meneruskan serangan selepas Booker bangkit.
Pengadil Thomas Taylor menghentikan perlawanan pada 2:51 dalam pusingan keempat.
“Saya berasa bersedia sepanjang masa ini sejak pertarungan terakhir saya,” kata Fundora selepas meningkat kepada 22-1 dengan satu seri dan 14 kemenangan. Booker merosot kepada 23-2.
“Saya telah bekerja keras membuat persediaan tahun lalu. Kini saya berjaya mempertahankan dua gelaran,” tambah Fundora, yang berkata dia ingin mengikuti jejak langkah kakaknya, Gabriela Fundora, sebagai juara dunia flyweight yang tidak boleh dipertikaikan.
“Siapa pun yang saya hadapi seterusnya, saya akan bersedia,” katanya. – AFP
