Fungsi cermin gelap kenderaan

Cermin gelap atau lapisan penghalang sinaran cahaya matahari dipercayai dapat memberikan memberikan perlindungan dan menurunkan suhu dalam kenderaan. Namun adakah perkara ini benar?

Menurut ekstrak dari laman web auto, Paultan.org, semua itu bukan bergantung kepada kegelapan cermin, sebaliknya ditentukan oleh kualiti filem penapis haba yang anda gunakan. Cermin yang lebih gelap hanya akan mengehadkan pandangan, dan bukannya mengehadkan kadar penembusan haba yang sepatutnya menjadi hal utama yang perlu dipertimbangkan sekiranya anda ingin mendapatkan suasana kabin yang lebih sejuk dan nyaman.

Jadi, anda perlu jelas dengan keutamaan yang ingin diberikan dalam isu ini; adakah anda tidak mahu orang di luar melihat ke dalam kenderaan (mengehadkan pandangan) atau anda ingin mengurangkan sinaran merbahaya matahari dan menjadikan ruang kabin lebih sejuk? Filem penapis haba yang bagus tidak hanya akan mengurangkan kadar cahaya yang menembusinya, tetapi apa yang lebih penting ia juga akan mengurangkan kesan negatif yang disebabkan oleh tenaga solar.

Ada beberapa perkara yang perlu anda fahami berkaitan kemampuan filem penapis haba yang berkualiti dengan prestasi yang terbaik untuk mengurangkan kesan haba panas dalam kabin kenderaan, seperti berikut:

Menghalang cahaya Ultraviolet (UV): Radiasi UV hadir dalam bentuk UVA dan UVB. UVA misalnya lebih ketara, boleh mengakibatkan penyusutan kualiti cat badan serta material lain yang digunakan dalam kereta, seperti fabrik dan kulit untuk tempat duduk. UVB pula akan mendatangkan kesan seperti apa yang kita ketahui dan pernah rasakan sendiri, misalnya sunburn pada kulit dan lain-lain. Semakin tinggi kadar menghalang UV pada filem yang digunakan, itu adalah lebih baik. Kebanyakan filem penapis haba berprestasi tinggi mampu mencapai 99% kadar penolakan UV.

Menghalang sinar infra-merah (IRR): Cahaya infra-merah umumnya bertanggungjawab terhadap kehangatan yang anda rasakan sewaktu berada dalam kenderaan. Lebih tinggi kadar penolakan sinar infra-merah ini, maka itu lebih bagus. Namun, kadar penolakan infra-merah ini bukanlah satu-satunya perkara yang perlu anda beri perhatian. Ini kerana, julat gelombang IR sebenarnya agak luas, tetapi kebanyakan spesifikasi filem penapis haba hanya meliputi sebahagian daripada julat berkenaan, tetapi penjual akan mendakwa ia dapat memberikan pelindungan IR 99%.

Keseluruhan tenaga solar yang ditapis (TSER): Ini mewakili kadar keseluruhan tenaga solar yang dihalang atau ditapis oleh filem haba pada cermin. Biasanya, kadar yang dinyatakan bagi hal ini lebih tepat – tetapi bukanlah bermaksud ia mutlak – untuk menilai prestasi sesebuah filem penapis haba. Lebih tinggi peratusannya, maka lebih sedikit haba solar yang dapat tembus ke dalam kabin; menjadikan ruang kabin lebih sejuk. – Agensi