JAIMANITAS, CUBA – Pada tahun 1994, artis Cuba Jose Fuster mula menampal dan menghiasi rumahnya dengan pokok-pokok, haiwan dan patung daripada mozek berwarna-warni dalam gaya seni Picasso. Keunikan itu seterusnya menjadi trend: hari ini seluruh bandar Jaimanitas meraikan perayaan seni seramiknya.
Kira-kira 1,000 pelancong, dari negara jauh seperti Eropah, Rusia dan Mexico, setiap minggu akan melawat tempat memancing yang lengang yang diubah oleh Fuster menjadi sebuah bandar taman tema dengan suasana istana dongeng secara berseloroh dipanggil ‘Fusterlandia’ sebagai tanda pengiktirafan kepada penduduknya yang dikenali ramai.
Di sebelah barat ibu negara Havana, bangunan, rumah, dinding dan perhentian bas Jaimanitas semuanya menjadi paparan pemandangan untuk visi artistik lelaki berusia 79 tahun itu.
“Saya dapati format kanvas, seramik adalah terlalu kecil,” beritahunya kepada AFP.
Fuster berkata dia membayar bahan-bahan mozek hasil daripada jualan seninya, sebahagiannya dipamerkan di rumahnya yang terkenal sebelum ini kini dijadikan galeri untuk lukisan, arca dan seramik.
“Saya tidak tahu saya boleh mencipta begitu banyak karya. Ia seakan-akan sejenis penularan,” kata Fuster sambil ketawa, yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan menunggang skuter mobiliti elektrik.
Fuster ialah pencipta apa yang dipanggil seni ‘naif’, yang melibatkan penggunaan bentuk asas dan warna terang sama seperti digunakan seorang kanak-kanak.
Kadang-kala digelar sebagai ‘Caribbean Picasso’ atau ‘Cuban Gaudi,’ dia berkata dia terutamanya mendapat ilham daripada koleksi gergasi karya luar yang dicipta oleh pengukir Romania, Constantin Brancusi di kampung halamannya di Targu Jiu.
Fuster menggunakan pokok-pokok palma, ayam jantan dan penduduk luar bandar sebagai prototaip untuk karya seninya, diselang-seli dengan pepatah popular dan petikan puisi.
Terdapat banyak corak berbentuk hati besar warna merah, gajah merah jambu dan kiasan berulang dikaitkan dengan revolusi Cuba pada tahun 1959.
Jaimanitas ‘adalah sebuah perkampungan kecil yang terpencil, tanpa bantuan atau apa-apa keistimewaan,” kata Jorge Gonzalez, 79 tahun yang memberitahu AFP dia tinggal dalam ‘dunia karya seni’.
Fuster, katanya, ‘mengambil alih situasi dan segala-galanya muncul dengan perasaan penuh kegembiraan, kasih sayang.’
Rumah Gonzalez sendiri yang dahulunya hanya terdiri daripada binaan kayu, kini bersimen dan dilitupi dengan mozek.
Dan beberapa tahun lalu – semasa pemulihan hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat dan Cuba di bawah bekas presiden Barack Obama bandar itu menjadi saksi kepada bintang seperti Madonna dan Sean Penn bersiar-siar di jalanan ‘Fusterlandia.’
“Saya tidak membelanjakan wang untuk pengiklanan. Ia berlaku dengan sendirinya,” kata Fuster mengenai tarikan yang telah dibawa oleh bandar itu.
Dengan rumah lamanya kini dijadikan galeri dan muzium, dia sedang membina, dan menghias, sebuah rumah baharu untuk dirinya yang terletak lebih dekat dengan pantai. – AFP