Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fyza Kadir sedar diri tiada bakat berlakon

    Ikon fesyen Malaysia, Fyza Kadir menyifatkan keputusannya meninggalkan dunia lakonan sebelum ini sebagai langkah tepat.

    Memetik laporan mStar, Fyza atau Norhafezzah A. Kadir, 38, berkata, selepas setahun bergelar pelakon beliau sedar langsung tidak mempunyai bakat dalam bidang tersebut dan hanya melakukannya kerana mendapat kepercayaan penerbit Mejar (K) Datuk David Teo.

    Imbau Fyza, hampir setiap kali menyelesaikan sesuatu babak beliau akan menangis kerana tidak dapat memberikan yang terbaik.

    “Saya cuba sebab David puji saya ada rupa dan boleh ‘jual’, ketika itu saya fikir tak salah mencuba dan mula menyedari saya tiada bakat berlakon.

    “Setiap kali menyelesaikan sesuatu babak saya mesti menangis. Ia sangat sukar. Saya jadi sedih sebab tak mampu berikan yang terbaik.

    “Jadi saya rasa cukup setakat itu tambahan pula saya ini pemalu dan suara pun tak keluar,” katanya kepada mStar.

    Fyza memberitahu perkara itu ketika ditemui pada sidang media Raya Ariani 1,001 Tales yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

    Dalam pada itu, Fyza yang pernah bernaung di bawah pengurusan MIG memberitahu sejak awal beliau sudah memberitahu David beliau tidak pandai berlakon.

    “Ada orang beri nama saya kepada David dan beliau panggil saya datang ke pejabatnya tapi awal-awal lagi saya sudah maklumkan yang saya memang tak pandai berlakon.

    “Tapi sehari selepas pertemuan kami, saya sudah dapat tawaran berlakon. Tak sangka pula sampai dapat tawaran back to back.

    “Ketika itu saya fikir apa nak jadi dengan saya. Keputusan sudah dibuat jadi saya kena teruskan juga,” jelasnya.

    Sementara itu, Fyza memberitahu keputusan berhenti berlakon juga tepat kerana beliau ingin memberi fokus kepada rumah tangga selepas berkahwin dengan Ahmad Feruz Zainal Abidin, 43, pada 2013.

    Walaupun suami tidak menghalang beliau meneruskan karier seni namun sebagai isteri beliau sendiri sedar keutamaan selepas berkahwin.

    “Suami tidak pernah menghalang untuk saya meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan.

    “Namun saya sendiri sedar saya tiada bakat berlakon dan mengambil keputusan tepat untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga,” katanya.

    Untuk rekod, Fyza pernah membintangi beberapa buah filem popular termasuk Nongkrong, Ajiboy, Pe3 dan Senario Ops Pocot. – Agensi

    Fyza Kadir akui seorang pemalu ketika sedang berlakon. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda