Penantian peminat akhirnya berakhir apabila penyanyi terkenal G-Dragon bakal mengadakan konsert di Malaysia pada Julai depan.
Apa lebih menggembirakan, G-Dragon bakal menghiburkan peminat selama dua malam iaitu pada 19 dan 20 Julai di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Konsert ini adalah sebahagian daripada Übermensch World Tour yang akan membawa G-Dragon ke beberapa negara di seluruh dunia seperti Jepun, Indonesia, Hong Kong dan Taiwan.
Konsert jelajah itu sebagai menyokong album studio ketiganya berjudul Übermensch yang dilancarkan pada awal Februari 2025.
Sebelum konsert di Malaysia, G-Dragon dijangka akan memulakan jelajah dunia beliau di Korea pada 29 dan 30 Mac di Stadium Goyang, yang akan menjadi pentas pertama beliau dalam siri jelajah ini.
G-Dragon juga dijadualkan untuk membuat persembahan di Singapura Grand Prix 2025 pada 3 Oktober depan di mana peminat dapat menyaksikan persembahan beliau dalam acara motorsport yang ikonik tersebut. – Agensi
