Penyanyi G-Dragon menyangkal dakwaan kononnya dia mempunyai hubungan istimewa dengan salah seorang ahli Twice iaitu Sana.
Tampil menjelaskan perkara sebenar, agensi G-Dragon iaitu Galaxy Corporation memberitahu gosip yang tersebar itu adalah satu salah faham, menurut petikan mStar.
G-Dragon dan Sana mula rapat selepas sama-sama terlibat menerusi program YouTube Dex And Sana’s Fridge Interview.
Tindakan G-Dragon menandai akaun Instagram sana ketika Twice membuat persembahan pembukaan di konsert Coldplay hanyalah isyarat mesra selepas mereka menjalani penggambaran bersama.
“Kami ingin menjelaskan salah faham berkaitan khabar angin percintaan G-Dragon yang sedang tersebar.
“Selepas sama-sama terlibat dalam penggambaran sebuah program, G-Dragon menghadiri konsert Coldplay di Seoul yang turut menyaksikan Twice muncul sebagai artis undangan.
“Memandangkan penggambaran baru sahaja berlangsung tidak, dia sekadar menandai akaun peribadi Sana sebagai satu isyarat mesra selepas penggambaran bersama,” katanya.
Berkongsi lanjut, agensi memberitahu mereka tidak mengeluarkan kenyataan rasmi secepat mungkin kerana risau penampilan G-Dragon dalam program tersebut terbocor.
“Kami tidak mengulas mengenai khabar angin percintaan tersebut lebih awal kerana bimbang ia akan membocorkan penampilan G-Dragon dalam program tersebut,” ujarnya.
Pada April lalu, menerusi hantaran di Instastory, G-Dragon hanya menandai akaun Instagram peribadi Sana ketika memuat naik video persembahan Twice di konsert kumpulan Coldplay di Stadium Goyang, Seoul.
Menyedari perbuatannya itu mula dihidu peminat, G-Dragon bertindak memadam hantaran tersebut tanpa memberikan apa-apa penjelasan kepada peminat.
Tidak berpuas hati, peminat mahu G-Dragon tampil membuat penjelasan tentang hubungan sebenar mereka berdua. – mStar
