ROM, 30 SEPT – Negara anggota kumpulan 20 (G20) akan mengadakan sidang kemuncak luar biasa bulan depan dalam usaha untuk mengelakkan bencana kemanusiaan di Afghanistan, kata Perdana Menteri Itali, Mario Draghi.
“Sidang kemuncak luar biasa G20 mengenai Afghanistan akan diadakan pada 12 Oktober ini. Kami mahu melihat sama ada 20 negara terkaya di dunia ini mempunyai objektif bersama,” katanya, semalam.
Rome, yang memegang jawatan Presiden Forum G20 ketika ini, berusaha untuk memperluas perbincangan global mengenai krisis di Afghanistan ke negara lain termasuk Rusia dan China. “Saya mendengar tanpa henti bencana kemanusiaan akan berlaku kerana Afghanistan tidak mendapat sokongan dari seluruh dunia. “Saya rasa adalah tugas negara terkaya di dunia untuk melakukan sesuatu bagi mengelakkan bencana kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata sidang kemuncak itu juga akan menjadi langkah baharu yang boleh diambil masyarakat antarabangsa untuk memastikan Afghanistan tidak lagi menjadi pusat pengganas antarabangsa. Katanya, sidang kemuncak itu turut dibuka kepada peserta lain termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Belanda, Sepanyol dan Qatar.
Sidang kemuncak mengenai Afghanistan itu dijangka diadakan melalui pautan video manakala ketua negara atau kerajaan G20 dijadualkan menghadiri sidang kemuncak utama di Rom pada 30 dan 31 Oktober ini. – AFP
