Tuesday, November 19, 2024
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    G20 gesa gencatan senjata menyeluruh, bantuan Gaza

    RIO DE JANEIRO, 19 NOV – Pemimpin G20 yang bermesyuarat di Rio de Janeiro menyuarakan kebimbangan yang mendalam terhadap situasi kemanusiaan yang dahsyat di Semenanjung Gaza dan ketegangan yang semakin memuncak di Lubnan.

    Dalam satu kenyataan tegas, mereka menekankan keperluan mendesak untuk memperluaskan aliran bantuan kemanusiaan, memastikan perlindungan orang awam dan menghapuskan semua kekangan yang menghalang penyediaan bantuan berskala besar.

    Para pemimpin menekankan penderitaan manusia yang teruk dan akibat buruk yang lebih luas daripada konflik yang berterusan.

    Mereka juga menegaskan semula hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mengulangi, “komitmen tidak berbelah bahagi mereka terhadap visi penyelesaian dua Negara.”

    Bersatu dalam rayuan mereka untuk keamanan, G20 menyeru gencatan senjata menyeluruh di Gaza selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 serta di Lubnan, untuk membolehkan rakyat di kedua-dua belah Garis Biru pulang dengan selamat ke rumah mereka.

    Pengisytiharan itu mencerminkan komitmen teguh kumpulan itu untuk memupuk kerjasama antarabangsa dan memastikan usaha kemanusiaan dan pembinaan keamanan kekal sebagai keutamaan global.

    Pemimpin G20 bertemu di Rio de Janeiro pada 18 hingga 19 November untuk menangani cabaran dan krisis global utama serta menggalakkan pertumbuhan yang kukuh, mampan, seimbang dan inklusif.

    Di bawah Kepimpinan Brazil, G20 pada 2024 memberi tumpuan kepada tema, Membangunkan Dunia yang Adil dan Planet yang Mampan.

    Pengisytiharan itu mengesahkan komitmen kumpulan untuk memupuk pertumbuhan yang kukuh, inklusif dan seimbang sambil memastikan tiada siapa yang ketinggalan.

    Pengisytiharan itu juga menyerlahkan kemajuan perlahan ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dengan banyak sasaran ketinggalan atau mundur.

    Sebagai tindak balas, inisiatif seperti Perikatan Global Menentang Kebuluran dan Kemiskinan telah dilancarkan untuk mempercepatkan usaha membasmi kebuluran dan kemiskinan. – Bernama

    Antara pemimpin-pemimpin negara bergambar ramai pada akhir sesi pertama Mesyuarat Pemimpin G20 di Rio de Janeiro, Brazil kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda