ISTANBUL, 28 FEB – Pemimpin negara perindustrian Kumpulan Tujuh (G7) kelmarin, berkata mereka akan terus mengambil langkah jika Rusia tidak menghentikan ‘tindakan agresifnya’ terhadap Ukraine.
Pemimpin Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, UK dan AS mengadakan sidang video yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock dan turut dihadiri oleh Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba.
Menurut kenyataan selepas pertemuan itu, mereka mengutuk “pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, yang dibolehkan oleh Belarus.”
“G7 telah mengemukakan sekatan besar-besaran dan diselaraskan, termasuk ke atas Belarus kerana ia memudah cara serangan Rusia,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan itu. Mereka menyeru Rusia untuk “segera menghentikan serangan yang sedang berlaku.”
“Rusia akan bertanggungjawab atas sebarang kerosakan yang ditimbulkan oleh operasi ketenteraannya ke atas Ukraine dan penduduknya serta warga antarabangsa dan harta benda mereka,” tambahnya. –Bernama